Mohd Hariszuan Jaharudin

Sore 7 Jun 2009. Langit mendung dan cuaca redup dan tepat jam 4.15 petang, Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-55 ditangguhkan. Tetapi, masih ada perkara yang belum benar tuntas, terutamanya tentang usul-usul yang dibahaskan, begitu juga dengan cakap- cakap selepas sidang media. Hal ini kerana muktamar kali ini diadakan dalam iklim politik Malaysia yang cukup meriah dan dalam keadaan ini PAS harus memperlihatkan dirinya bukan sekadar barisan oposisi, malah sebagai government in waiting.

PAS juga harus memperlihatkan sisi progresif yang saat ini bergabung dalam Pakatan Rakyat. Dengan keragaman parti yang terdapat dalam Pakatan Rakyat, maka sudah tentu menuntut sebuah kesabaran politik. Muktamar kali ini dikatakan medan untuk menilai kematangan PAS. Dalam wacana pasca-muktamar ini, penulis telah mengadakan temubual dengan tiga pengamat politik–Dr. Farish Ahmad-Noor, zamil kanan di Rajaratnam School of International Studies di Nanyang Technical University (NTU), Wan Hamidi Hamid, seorang Perunding Politik/Media, Research for Social Advancement (REFSA), dan Zin Mahmud, wartawan berpengalaman dari Utusan Malaysia.

Dalam menilai tingkat perbahasan dalam Muktamar kali ini, di samping merangka kefahaman terhadap isu dikotomi antara ulama’ dan profesional Dr Farish–Islam Embedded: The Historical Development of PAS (2004) dan beberapa buah buku lain–menjelaskan perbedaan pendapat dan pendirian yang beraneka itu memang suatu hakikat alami dan tidak patut diragukan. Perbezaan ini nyata wujud dalam wadah suatu parti politik yang sememangnya mengandungi begitu banyak anggota dengan pendirian dan perspektif mereka sendiri. Malah perbedaan pendapat begitu juga hadir di celah anggota parti mana pun, dan dari sisi ini PAS tidak berbeda dari parti yang lain.

Jikalau usul yang diterima oleh Muktamar kali ke-55 ini dijadikan sandaran untuk menilai hala tuju dan kematangan PAS, Wan Hamidi yang juga kolumnis di The Malaysian Insider menyatakan tiada yang terlalu penting untuk diwacanakan kerana ia sekadar mengulangi pendirian PAS sebagai parti siasah berteraskan orang Melayu dan pandangan Islam konservatif. Contohnya Muktamar itu menerima usul mengekalkan kuota 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera dan usaha untuk mengukuhkan ekonomi orang Melayu, iaitu sama seperti perjuangan seteru tradisinya–UMNO. Perkara yang menjadi modal bicara di akhbar, lobi parlimen mahu pun kedai kopi adalah perkara yang tidak dicanai sesempurnanya dalam Muktamar, iaitu usaha menjalin kerjasama PAS dan Umno; ia hanya timbul dalam komen-komen saat sidang media.

Bagi beliau, persoalan besar yang masih membelengu PAS dan seharusnya dibahaskan semasak-masaknya adalah kesanggupan PAS berubah mengikut kehendak rakyat. Jika riak di akar umbi menampilkan keingingan rakyat untuk mengubah kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang, PAS perlu melihat gelombang ini dengan mata bundar yang serius. Kendatipun begitu, bukan sedikit orang yang hairan kerana kemenangan PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU lalu jelas menunjukkan rakyat mahu perubahan kerajaan tetapi pimpinan dilihat kurang reaktif terhadap perkembangan ini, setidaknya pada pengamatan Wan Hamidi.

Sebaliknya Zin Mahmud, dengan nada yang sedikit berbeza menyimpulkan resolusi tentang ekuiti Bumiputera itu merupakan hal yang paling signifikan. Hujah beliau, hal ini menunjukkan walaupun PAS berada dalam Pakatan rakyat yang turut dianggotai oleh DAP dan PKR yang menolak Dasar Ekonomi Baru, tetapi PAS menampilkan diri sebagai parti yang memperjuangkan kemajuan ekonomi Bumiputera. Sikap ini memperlihatkan sisi PAS yang konservatif. Hal inilah yang merupakan cabaran terbesar PAS – menampilkan cara dan perubahan yang wajar untuk muncul sebagai parti utama. Bagaimana PAS hendak menampilkan konsep Negara Islam yang benar-benar berpijak pada realiti dan demokrasi? Zin Mahmud menyudahkan hujahnya dengan bertanya.

Dalam soal dikotomi ulama dan profesional muda , Zin Mahmud berpendirian soal itu tidak seharusnya timbul kerana tidak tepat untuk menggambarkan realiti PAS dan perbahasan mengenainya hanya akan meletihkan. Jelasnya lagi perbezaan yang wujud harus antara dua pemikiran iaitu konservatif dan progresif. Ulama juga terbahagi kepada dua, konservatif dan progresif. Profesional juga terbahagi kepada dua aliran pemikiran itu. Istilah profesional juga tidak tepat. Tambah beliau, banyak aktivis yang bukan ulama dan bukan profesional, tetapi mereka lebih menepati kehendak perjuangan PAS.

Mengulas hal yang sama Dr Farish membawa isu ini lebih kepada sisi yang lebih fundamental–soal pentafsiran–beliau merasakan dikotomi antara jalur ulama dan jalur ‘progressive-intellectual’ adalah dikotomi yang tidak ada dasarnya. Hal ini kerana daripada segi penafsiran makna ‘alim’ dan ‘ulama’ itu, seorang alim adalah seorang yang berilmu. Sudah tentu kata ‘ilmu’ itu patut diberikan suatu tafsiran yang luas, dan kalau kita tinjau kembali kepada sejarah awal tradisi ilmuan Islam, kita mendapat bukti bahawa sejak zaman bahari lagi ‘ilmu’ itu juga merangkumi ilmu duniawi juga.

Jelas beliau: “Di madrasah Ferenggi Mahal di India, kurikulum Darsi-Nizami telah memberi taraf dan status yang penting kepada ilmu agama dan juga ilmu duniawi, seperti ilmu hisab, sejarah, ekonomi, pentadbiran, politik dan lain lagi. Ini bertujuan untuk melahirkan ilmuan yang mempunyai ilmu yang luas dan komprehensif, dan bukan cetek ataupun sempit. Tetapi dewasa ini, ilmu tidak lagi difahami secara luas, dan semakin sempit oleh kerana wujudnya disiplin akademik yang sempit. Jadi ini menimbulkan kekeliruan antara kaum Muslim sendiri, yang tidak mengenali sejarah tradisi ilmuan Islam. Ibn Khaldun, sebagai contoh, merupakan seorang alim-ilmuan dalam bidang siasah dan sosiologi politik dan sejarah. Tetapi hari ini dia dianggap seorang ahli sains sosial dan bukan seorang alim-ilmuan.”

Wan Hamidi pula punya pandangan yang sedikit berbeza, pada hematnya tidak wujud perbezaan serius di antara “liberal” dan “ulama” dalam PAS. Hal ini sebenarnya lebih kepada percaturan politik parti. Kesemua pemimpin dan ahli PAS berpegang kepada ideologi Islamisme yang dibentuk dalam acuan budaya hidup Sunni yang bermazhab Shafi’e. Yang berbeza hanyalah kumpulan yang mahu terus bekerjasama dengan PKR dan DAP (dan seterusnya menerima kepimpinan de facto Anwar Ibrahim) dan kumpulan yang tidak selesa dengan Anwar dan DAP lalu sanggup bekerjasama dengan Umno atas nama Melayu.

Cakap–cakap mengenai kerajaan perpaduan yang dimulakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat respons yang berbeza daripada dalaman parti. Dalam mengulas mengenai faktor yang mencetuskan isu kerajaan perpaduan ini, Wan Hamidi merumuskan apa yang berlaku hanyalah reaksi apabila PAS menjadi parti terkecil dalam gabungan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac, 2008.

“Timbul kebimbangan bahawa PAS mungkin ditelan arus baru kepelbagaian kaum. Ini merisaukan kumpulan Islamis dalam PAS yang bimbang “Islam” akan dicairkan oleh pragmatisme rakyat. Jadi timbul usaha mencari “kawan lama” walaupun musuh politik yang sama-sama mendokong Islam yang lebih konservatif. Ini pula bukan soal ideologi; ia lebih kepada soal bimbang kehilangan kuasa atau pengaruh,” garap Wan Hamidi.

Situasi dalaman PAS ini juga dipersetujui oleh Dr Farish, kerana menurutnya muktamar kali ini bersifat introspektif dan fokusnya khusus kepada politik dalaman parti PAS sendiri. Hal ini mungkin sekali disebabkan ada di antara barisan kepimpinan PAS yang cenderung konservatif yang terasa bahawa mereka telah diketepikan oleh arus pergolakan politik Malaysia kini.

Zin Mahmud pula cuba melihat isu ini daripada beberapa pojok pandang yang berbeza. Menurutnya isu kerajaan perpaduan ini timbul selepas PAS mendapati bahawa mereka mampu menumbang atau mendirikan kerajaan negeri di Perak dan Selangor. Kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memerlukan PAS jika mahu mentadbir. Di satu sudut, ia muncul dari sifat rasa tidak puas hati beberapa pemimpin PAS terhadap kedudukan mereka dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Di satu pihak pula ada pemimpin yang bersifat oportunis dan melihat kerjasama dengan UMNO lebih menguntungkan, bukan saja kepada parti tetapi kepada peribadi. Kekalahan PAS di Terengganu dan perpecahan UMNO di negeri itu mendorong PAS yang diterajui oleh seorang pemimpin Terengganu untuk melihat peluang dalam kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, menjelang Muktamar berikutnya, timbul juga persoalan dimanakah letaknya kepimpinan ulama dalam PAS? Adakah ulama akan kekal hegemonik ketika PAS harus lebih kompromi dengan rakan pakatan yang lainnya? Dengan nafas yakin, Wan Hamidi menjelaskan bahawa berasaskan perubahan besar dalam PAS pada 1982 di mana kumpulan ulama di bawa ke peringkat tinggi, agak sukar bagi mana-mana pihak dalam parti untuk meminda peruntukan yang mewujudkan Dewan Syura Ulama. Pengaruh ulama dalam PAS akan kekal pekat tetapi beliau mengingatkan, PAS terpaksa berhadapan dengan permasalahan kualiti ulama itu sendiri. Jika ulama mula dilihat (dalam perkataan Wan Hamidi) sebagai “lebai kampung”, mungkin ketika itu cakap mereka tidak terpakai lagi. Wewenang bukan hanya datang daripada duduk kuasa politik tetapi juga daripada psikologi dan persepsi, malah itu lebih perlu. Maka Dewan Syura Ulama harus sentiasa mempunyai psychological authority dari ahli PAS yang lain untuk kekal berpengaruh.

Sungguhpun begitu, Zin Mahmud pula agak skeptikal apabila meramalkan Ulama akan berpecah, antara konservatif dan progresif. Dr Farish juga melihat kemungkinan yang sama sambil menambah pesan, jikalau kedua golongan ini (ulama dan progresif) tidak dapat berkerjasama secara efektif, timbul kekhuatiran bahawa keretakan hubungan ini akan menular dan akhirnya mungkin menjejaskan kedudukan dan prestasi PAS di mata masyarakat Malaysia nanti. Suara-suara kaum ulama yang agak lantang kini mempunyai sifat yang agak reactionary dan defensive, seakan mereka ingin mempertahankan kedudukan, status dan prestij mereka dihadapan khalayak anggota parti mereka sendiri dan PAS harus bijak menguruskan hal ini.

Jawapan Dr Farish itu membawa kepada persoalan masa depan dan survival PAS. Perlukah PAS lebih liberal untuk memudahkan penerimaan semua lapisan rakyat terhadap kepimpinan PAS? Dalam hal ini, Wan Hamidi berasa PAS tidak perlu mengubah sebarang pendirian atau dasar. Ia mahu menjadi parti Islamis dan ia boleh kekal Islamis. Malah ia akan menjadi daya penarik kepada pengundi yang mahukan nilai Islamisme kekal dalam kerajaan (jika Pakatan bersama PAS memenanginya dalam PRU 13). Malah PAS mempunyai peranan untuk menjadi suara hati Pakatan dalam masyarakat berbilang kaum di mana 60 peratus penduduk adalah orang Melayu.

Sebenarnya, menurut Wan Hamidi inilah yang menjadi punca masalah. Tekanan untuk PAS menjadi lebih “liberal” telah membuatkan kepimpinannya gusar kerana persepsi mereka adalah liberal itu bererti mengorbankan segala prinsip Islam. Di sini perlu satu pendekatan dan penerimaan di semua kalangan pemimpin dan ahli PAS serta Pakatan bahawa platform yang harus mereka berpijak adalah kebebasan, hak asasi, kedaulatan undang-undang dan kejujuran. Semua ini dilihat sudah tidak wujud lagi dalam Umno dan BN. Jadi hanya platform bersama ini mampu membawa PAS bersama rakan-rakan dalam Pakatan. PAS perlu liberal dan inklusif bukan hanya untuk mendapatkan sokongan banyak lapisan rakyat.Tetapi Islam itu mempunyai ciri liberal dan inklusif–tentunya berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah–tambah Zin Mahmud seakan melengkapkan hujah Wan Hamidi. Maknanya PAS harus bersedia untuk membawa pentafsiran Islam yang lebih progresif.

Tambah Dr Farish, agak penting bagi golongan konservatif dalam kalangan pemimpin PAS sedar bahawa PAS telah menang besar dalam pilihanraya tahun lalu oleh kerana parti Islam itu mendapat sokongan dari kaum bukan-Melayu dan bukan-Islam juga. Ini kerana golongan bukan-Melayu/Muslim lebih selesa dan senang dengan golongan prgresif PAS yang retorik dan wacananya lebih moderat, inklusif dan pragmatis.

Seakan ingin menjelas pandangan Dr Farish itu, Wan Hamidi mendatangkan contoh isu Sisters in Islam (SIS) yang dibangkitkan dalam Muktamar, baginya tidak ada salahnya PAS menentang SIS tetapi ia tidak perlu mengulangi sikap Umno-BN yang hanya tahu mengharamkan itu dan ini tanpa mahu melalui proses dialog dan debat. Jika PAS dapat menerima konsep “we agree to disagree” ia adalah satu permulaan yang baik untuk mewujudkan masyarakat yang lebih terbuka minda dan hati. Keterbukaan tidak mampu wujud melalui undang-undang sahaja, ia adalah proses pembudayaan secara sukarela yang memerlukan masa.

PAS harus sedar, dalam iklim politik kini, PAS beruntung kerana tidak perlu membuat sebarang rombakan drastik. Keinginan rakyat hanya mahu melihat perpaduan antara parti dalam Pakatan. Jika PAS dilihat jujur dan serius dengan Pakatan, ia mungkin memberi lebih banyak saham kepada Pakatan untuk menarik sokongan rakyat. Yang menjadi detik penentu ialah PRU 13.

Namun begitu PAS perlu merombak cara fikir dan menjelaskan fahamannya untuk relevan dalam suasana politik di mana kelihatannya rakyat menolak UMNO ujar Zin Mahmud apabila bercakap tentang masa depan parti siasah yang mempunyai akar umbi yang kuat ini. PAS mesti muncul sebagai alternatif kepada UMNO dalam waktu yang sama mampu berubah untuk lebih progresif dan demokratik. Rombakan kepimpinan dan dasar amat perlu dengan perbahasan ideological. Perdebatan idea wajar dilakukan secara berterusan tanpa menjejaskan perpaduan parti jelas Zin Mahmud menutup wawancara.


Mohd Hariszuan Jaharudin pelajar tahun akhir Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Farish A. Noor Mohd Hariszuan Jaharudin PAS Politik Malaysia Wan Hamidi Hamid Zin Mahmud

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Kalau alim ulama tidak turut serta dlm gelanggang politik.apalah yg akan terjadi kpd masyarakat.Pastinya politik dikuasai oleh mereka yg tidak mengenal halal haram.mereka yg beranggapan agama hanyalah urusan peribadi semata-mata.politik tidak kotor,tetapi tangan-tangan durjana yg mengotorkan politik.Agama itu memimpin politik.bukan politik yg memimpin agama.Semoga para pendukong gerakan Islam tidak jemu dlm usaha mendaulatkan Islam ke tempat yang sewajarnya.Amin