Debat seperti ini, bagi saya, hanya berlaku di Jalan Telawi. Eekmal ingin menemukan saya dengan seorang anak muda yang sedang belajar di Universiti Princeton. Dan seperti biasa saya memilih Coffee Bean sebagai lokasi.

Saya tidak menyangka orang yang akan dijumpai itu begitu muda sekali. Umurnya, meskipun tidak saya tanyakan, pasti mencemburukan bagi mereka yang telah makan garam lebih separuh abad. New Jersey, negeri di mana terletaknya Universiti Princeton, sentiasa menjadi negeri idaman untuk saya terokai. “Berapa jauh kampus kamu dari Weequahic High School?”, soalan untuk mencairkan air batu. Jelas Nithi yang berasal dari Kepong tidak pernah mendengarnya. Weequahic menjadi sekolah legendari dalam dunia sastera apabila seorang alumnusnya, novelis Philip Roth, menjadikan sekolah itu sebagai perencah dalam beberapa naratifnya.

“Kamu tidak pernah masuk Bada Bing?” Nithi juga tidak pernah mendengarnya. “Kamu memang budak baik,” Saya ketawa, dan Eekmal turut ketawa, kerana meski pun mahasiswa kebijakan itu tahu siri tv The Soprano yang berlokasikan di New Jersey, dia belum tertarik untuk mengetahui bar go-go di Route 17 yang menjadi markas kegiatan mafia Toni Soprano.

“KeADILan perlu go beyond Anwar, tidak boleh berterusan berpaksikan individu, personaliti, perlu mengungkapkan dasar, membina wacana,” Nithi mula berhujah. Muaz Omar, kolumnis The Malaysian Insider yang menyertai meja kami dan bernafsu menyertai perbincangan. Dia masuk daun seperti gaya Trasymakus membidas Sokrates dalam buku pertama Republik Plato. “Sama sahaja PR dengan BN. Mereka sama-sama kebuluran untuk mendapat kuasa.” Muaz berhujah dalam bahasa Inggeris, dan Inggerisnya lebih lancar dari ketika baru pulang dari Scotland sepuluh tahun dulu.

“Tetapi,” tambah Muaz, “Kalau diperincikan dan dibandingkan satu persatu antara BN dengan PR, BN lebih superior.” Teringat saya kata-kata Francis Bacon, writing makes an exact man. Saya menyaksikan bagaimana penulisan melakukan transformasi terhadap seorang individu.

“Mustahil tidak dapat dibedakan,” jawab saya setelah menghabiskan saki baki cappuccino dalam cawan. “Kita tidak lagi membincangkan perlu atau tidak ISA dimansuhkan. Membuang undang-undang drakonian yang menyekat kebebasan berfikir dan berkuasa. Bukan tidak mahu atau takut membincangkannya, tetapi sudah ada muafakat.”

“Tetapi BN belum berani, belum ada kesediaan, isu yang amat asasi ini.” Saya hairan, kadang-kadang agak panas, kepada mereka yang tidak dapat melihat perbedaaan yang sebegitu jelas dan amat mudah. Sejak tahun 1999, kali pertama saya memasuki pilihanraya, bila berkempen dari rumah ke rumah, saya sering bertemu dengan hujah di akar umbi bagi mereka yang tidak mahu perubahan menjawab dengan sinis “semua parti politik itu sama.”

Saya tidak apologetik dengan retorika kebuluran kuasa. Mungkin boleh digantikan dengan kalimat yang lebih neutral. Seperti parti politik, sama ada bersendirian atau pun bergabung, semestinya bersaing untuk memegang kekuasaaan politik. Itu adalah sifat atau matlamat parti politik, sebagaimana menyembuhkan penyakit adalah sifat atau matlamat seorang doktor.

Kalau doktor tidak boleh dicemuh kerana begitu ghairah untuk menyembuhkan penyakit pesakitnya maka ahli politik tidak boleh ditempelak untuk memegang tampuk kekuasaaan untuk menyembuhkan negara yang menderita barah rasuah dan pelbagai penyalahgunaaan kuasa.

Sebenarnya wacana boleh dipanjangkan untuk menjawab secara membina sinisisme tersebut. Sinisisme akar umbi—“semua parti politik sama”—punya pendukung intelektualnya. Jean-Baptist Alphonse Karr, kritikus, wartawan, novelis dan tokoh satira Perancis abad ke-19, meninggalkan ungkapan tajam yang sering dipetik: “plus ça change, plus c’est la méme chose”, makin berubah, makin sama.

Kuasa punya nyawa atau tabiat sendiri. Dan tabiat kuasa yang paling asas adalah untuk menambah kuasanya. Mereka yang memburu kuasa sering mengatakan kuasa itu adalah untuk kebaikan. Dan tidak kurang yang mengatakan itu dengan penuh keikhlasan. Dan saya tambah, kenaifan. Kuasa juga pelesit yang merosakkan pemiliknya. Maka mereka yang memburu kuasa dan mereka yang telah memiliki kekuasaan perlu selalu melakukan soal siasat terhadap diri sendiri.

Maka sejak berlakunya Revolusi Gemilang 1688 di England di mana parlimen menamatkan kuasa mutlak istana, mengongkong dan mengawal kuasa menjadi tema besar dalam perjuangan politik liberal. Jika kuasa mutlak istana diganti dengan kuasa mutlak parliemen maka berlaku seperti yang ditohmahkan oleh Jean-Baptiste Karr.

Sinisisme beliau bukan tidak bersebab. Ia berakar pada sejarah politik Perancis. Maka Revolusi Perancis 1789 memerlukan Revolusi 1848. tetapi di England, Revolusi Gemilang tidak mengganti kuasa mutlak raja dengan kuasa mutlak parlimen. Kuasa parlimen dibatasi dengan perlembagaan. Tangan kerajaan diikat.

Tangan kerajaan diikat supaya tidak berwenang-wenangan melakukan kejahatan. Soalan akan timbul. Mengikat tangan kerajaan dari melakukan kejahatan boleh diterima. Tetapi ikatan tersebut juga akan menghalang kerajaan dari melakukan kebaikan untuk rakyat.

Mengapa inisiatif untuk melakukan kebaikan perlu dijadikan sukar? Hujah ini amat persuasif, tetapi ia juga benih kepada pelbagai bentuk kediktatoran, pemerintahan kuku besi yang bermula dari gerakan pembebasan seperti Revolusi Perancis, Revolusi Bolshevik.

Lebih tiga ratus tahun telah berlalu di zaman moden, kita menyaksikan dua aliran. Aliran pertama, yang meraikan kebaikan manusia, cita-cita dan hasrat untuk melakukan keadilan, mencipta persamaan dan persaudaraan manusia sejagat.

Sungguh memukau idealisme ini. Dan pejuang-pejuangnya dengan segala keikhlasannya, tidak mahu kuasa mereka dibatasi untuk merealisasikan idealisme tersebut. Manusia yang hidup dalam dalam rejim-rejim kebebasan, persamaan dan persaudaraan sentiasa dibayangi dengan guillotine dan gulak.

Sementara aliran kedua tidak prolifik mencipta slogan yang menangkap imaginasi. Tidak puitits menyusun ayat-ayat yang memuji kebaikan manusia.

Ia curiga dengan slogan muluk-muluk kepada mereka yang menuntut kuasa untuk melakukan kebaikan, berdemikan kemanusiaan, persamaan dan lain-lain abstraksi.

Ia tidak menjanjikan kesempurnaan dan kebaikan yang sukar ditakrifkan, tetapi melangkah perlahan untuk menghapuskan kezaliman yang telah jelas zalim dan disepakati. Dari rekodnya aliran ini terus meningkatkan kebebasan, persamaan dan mutu kehidupan sosial dan ekonomi.

Wacana kebaikan untuk rakyat akan terus berjalan, dan ia perlu. Batas-batas pemerintahan juga menuntut penjelasan.

Tulisan ini telah diterbitkan di Suara Keadilan, edisi 21-28 Julai, Bil. 191 dan diterbitkan semula dengan kebenaran di JalanTelawi.com.

Khalid Jaafar merupakan Pengarah Institut Kajian Dasar.