Hafiz Hamzah

Sepulang dari Jakarta tak berapa lama lalu, seorang teman menghadiahi saya beberapa buah tangan yang wujud hanya dalam dua format – himpunan kertas yang dipanggil buku dan juga cakera padat muzik artis tanah seberang.

Nidji adalah sebuah band yang saya rasa ada paparan muzik yang jelas dan mungkin kuat juga, tidak seperti kebanyakan hasil kerja band sana yang dilambak di Malaysia. Maka dengan itu, cukup disedari, dan album Top Up adalah salah satu daripada tiga CD yang saya terima.
Ada dua lagi album yang terselit. Mulanya, saya tidak begitu memberi perhatian yang detail kepada kedua-duanya. Namun, setelah ia tanpa gagal berputar terus menerus dari dalam kereta dan tempat kerja, lama-kelamaan dua album tersebut semakin menunjukkan belang. Lagu-lagu yang terhimpun seperti memberi isyarat bahawa mereka harus di dengar!
Ports of Lima
Ports of Lima
Dua album yang dimaksudkan ialah Sore – Ports of Lima dan Gugun and the Bluesbug – Turn It On.
Sore, melalui album kedua mereka ini – yang saya rasa tidak cukup nilai ‘komersil’ untuk dicampak ke Malaysia mempamerkan satu ekplorasi muzik yang penuh warna-warni. Konstruksi yang ada pada kebanyakan komposisi muzik mereka tidak mudah dicerna. Mereka, pada tingkat tersendiri menggarap satu macam keasyikkan muzik moden yang longgar dan kompleks sekaligus menyuntik rasa pop yang melankoli. Muzik sebegini jarang gagal dan tidak memualkan.
Sore menganjalkan sejauh mungkin had-had yang mungkin memerangkap muzik mereka. Album ini bereksperimentasi bukan saja dengan aspek penulisan dan struktur lagu, tetapi juga melalui campur aduk alat muzik yang pelbagai – moden dan tradisional – dan tetap menjadikan semua ini relevan dengan muzik mereka. Orang akan menyukai atau tidak, itu bukan urusan mereka.
Melodi yang ada pada setiap lagu membawa bersama perasaan dan emosi yang dalam. Vokalnya tidak lunak – atau dalam bahasa mudah ‘tidak sedap’ – tetapi alunan suara yang ditonjolkan, dalam segala kesederhanaan yang ringkas, sentiasa memberi cerminan yang agak jelas ke atas cerita dan lirik yang digunakan.
Band ini tidak meletakkan apa-apa hal sebagai sentral perhatian mereka. Sekurang-kurangnya itu yang tampak pada reka desain kulit album dan pakej album ini. Ia seperti sebuah pendekatan dramatik, dengan kisah-kisah yang mahu disampaikan – dan mereka sebagai pelaku.
Mendengarkan album ini adalah seperti kita sedang belajar untuk menajamkan deria rasa agar di hari depan, kita akan segera menghidu muzik-muzik ‘lain’ yang lebih enak dan tidak lagi memberi perhatian kepada muzik yang berulang-ulang. Hari ini kita mungkin percaya bahawa lagu-lagu yang keluar di corong radio adalah muzik yang segar, pop serta rujukan yang baik. Muzik yang kita dengar di radio – walaupun tidak sedap – akan menjadi ‘sedap’ juga bukan kerana ia bagus, tetapi disebabkan hari-hari kita menghadap benda yang sama itu.
Sore membuatkan saya percaya bahawa bukan muzik yang menjadi ukuran utama stesen radio – atau diperkenalkan di Malaysia – untuk memutarkan sesebuah lagu atau muzik. Yang menjadi keutamaan adalah bisnes mereka. Dengan itu, saya secara peribadi merasakan yang muzik-muzik yang baik sentiasa bergerak dan berkembang dengan kapasiti dan kualiti mereka yang tersediri untuk mendapatkan khalayak pendengar yang lebih luas.
Dengan mendengar kerja muzik Sore, belum ada lagi muzik-muzik band Indonesia yang diperkenalkan di sini boleh menandingi muzik yang Sore tawarkan. Saya juga percaya, di Malaysia ketika ini ada band-band yang berteraskan rock mampu menandingi kualiti muzik sebegini – sekiranya sikap tidak menjadi penghalang yang traumatik.
Hafiz Hamzah
Hafiz Hamzah


Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.