Frank Kafka

Josef K. bermimpi:

Suatu hari yang indah dan K. ingin makan angin. Sebaik sahaja dia melangkah dua jejak, dia sudahpun berada di perkuburan. Lorong-lorong di situ rumit, berliku-liku hingga mengelirukan, tetapi dia meluncur melintas lorong itu seolah-olah terapung atas arus air deras dengan gerakan mengambang tanpa teragak-agak. Dari jauh lagi matanya terpandang sebuah busut kubur yang baru ditimbunkan, di mana dia ingin singgah. Busut kubur itu memancarkan suatu daya tarikan terhadapnya dan dia rasa bahawa dia tidak cukup pantas untuk sampai ke sana. Ada kala dia hampir tidak dapat lihat busut kubur itu, ia dikaburkan oleh panji-panji, kainnya saling berpintalan dan berpukulan antara satu sama lain; pembawa-pembawa panji tidak terlihat tapi suasana di sana rupanya bersorak-sorai meriah.

Semasa penglihatannya masih memandang saujana, tiba-tiba dia ternampak busut kubur yang sama itu di sebelahnya di tengah jalan, bahkan, hampir di belakangnya. Dia melompat terburu-buru ke atas rumput. Oleh kerana lorong terus bergerak ke depan di bawah tapak kakinya yang menganjal, dia terhoyong-hayang lalu terjatuh melutut di hadapan busut kubur itu. Dua orang lelaki berdiri di belakang kubur sambil memegang sebuah batu nisan di udara antara mereka; sebaik sahaja K. muncul, mereka mengetuk batu itu ke dalam tanah dan ia berdiri seolah-olah dibina kukuh. Dengan segera seorang lelaki ketiga melangkah keluar dari semak, yang K. kenal sebagai seorang seniman. Dia hanya memakai seluar dan sehelai baju yang tidak elok dikancingkan; di atas kepala dia memakai sebuah kopiah baldu; tangannya memegang sebatang pensil biasa yang dipakai untuk melukis bentuk-bentuk di udara sambil menghampiri mereka.

Dengan pensil itu dia memulai kerja di bahagian atas batu; batu itu sangat tinggi, dia tidak perlu membongkokkan badan, tapi dia harus bersandar ke depan, kerana busut kubur itu, yang dia tidak mahu terpijak, memisahkannya dari batu itu. Maka dia berdiri berjengket dan menopang dirinya dengan tangan kiri pada permukaan batu. Melalui suatu pertukangan yang mahir dia berjaya menghasilkan huruf emas dengan pensil biasa; tulisnya: “Di sini beristirehat — ”. Setiap huruf kelihatan elok dan permai, terukir sempurna dalam emas tulen. Setelah menulis perkataan yang kedua, dia memandang semula kepada K.; K., begitu ghairah menantikan perkembangan prasasti yang berikutnya, hampir tidak pedulikan lelaki tersebut, tapi hanya menumpukan matanya pada batu. Memang lelaki itu bersedia semula untuk sambung menulis, tapi dia tidak boleh, ada sesuatu yang menghalangnya, dia membiarkan pensil itu tenggelam lalu berpaling semula ke K. Sekarang K. pun memandang seniman itu dan memperhatikan bahawa dia berada dalam kebingungan yang besar, tapi tak dapat menyatakan sebabnya. Segala semangatnya yang dulu telah lenyap. Oleh itu K. juga menjadi bingung; mereka bertukar-tukar pandangan lesu; terdapat suatu kesalahfahaman yang dahsyat, yang tidak dapat diselesaikan sesiapa. Pada saat yang janggal, sebuah loceng kecil dari gereja tanah perkuburan itu mula berbunyi; tapi seniman itu memberi isyarat dengan tangannya yang terjulur ke atas dan ia berhenti. Seketika kemudian ia bermula semula; kali ini dengan senyap dan, tanpa perintah yang tertentu, serta-merta terputus; ianya seolah-olah cuma ingin mencuba bunyinya. K. berasa kecewa dengan keadaan seniman itu, dia mula menangis dan lama meratap ke dalam tangannya yang terangkat di depan mukanya. Seniman itu menunggu sehingga K. tenang, lalu membuat keputusan bahawa dia tidak dapat mencari ikhtiar selain meneruskan tulisannya. Garis halus pertama yang dilukisnya merupakan suatu penebusan bagi K., tapi jelas bahawa seniman itu hanya menghasilkannya dengan keengganan yang sungguh; tambahan pula tulisannya tidak begitu cantik lagi, terutamanya ia seolah-olah kekurangan emas, garis itu terurai pucat and tidak yakin, hurufnya cuma menjadi sangat besar. Ianya sepatah J., ketika ia hampir selesai, seniman itu menghentakkan kakinya dengan radang ke dalam busut kubur sehingga tanah terbang merata-rata di udara. Akhirnya K. memahaminya; tidak ada peluang lagi untuk meminta maaf kepadanya; semua nampaknya telah bersiap sedia; hanya sebagai khayalan selapis kerak tanah yang tipis menonjol ke atas; tepat di belakangnya sebuah lubang yang besar dengan dinding bercondong membuka, K. pula, diputarkan ke atas belakangnya oleh satu arus angin sepoi, tenggelam ke dalamnya. Tetapi ketika dia disambut ke bawah oleh jurang yang kebal itu, kepalanya masih tegak atas leher, namanya menerkam melintang batu dengan perhiasan bersemarak.

Gembira melihatnya, dia terjaga.

(1916)

Diterjemahkan dari Bahasa Jerman oleh Pauline Fan.

Pauline Fan ialah seorang penterjemah. Antara karya terjemahannya dari Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu termasuk Liebesgedichte oleh Bertolt Brecht (Dendang Cinta, Kala Translation Series, 2006) dan Was ist Aufklärung? oleh Immanuel Kant (Apa itu Pencerahan?, Institut Kajian Dasar, 2006). Dia telah juga memperalihkan hasil tulisan seniman Malaysia, Ismail Zain ke dalam Bahasa Inggeris untuk Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (Balai Seni Lukis Negara, 2007). Sejak 2002, dia berkhidmat dengan pertubuhan warisan budaya PUSAKA.

Cerpen Josef K Kafka Pauline Fan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan