GELUK

Firman dari balik corong kadbord dan gumpalan kertas, aku mendengarmu bergelintaran dalam kemilau, seperti halo para santo. Bagai matahari agong meratib dan mabokan dalam gelita yang pemalu. Juga diam. Juga dungu. Kemudian melusuh seperti geluk berlapis cahaya yang menjadi dewi dari wajahmu. Tuhan, aku qadim mendengarmu – berbisik, bersisik. Geluk, siang dan malam, satu jurusan. Dalam Nun atau gelombang. Engkau mengerti, suaraku seperti Yunus dengan mazmur-mazmur cinta yang berhantu.

MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

JANUARI 2007

TETES

katak-katak telah menghuni kepalaku melepaskan seribu terompet ngilu membunuh dan membangkitkan rautmu dari tetes hujan yang merentung tetes yang mendebu dengan seribu busar engkau memanahku kita dengar suara cinta suara epal hijau suara dosa dan pahala dari batu hutan matahari lautan pasar jalanan erang panjang kita lahirkan seorang rumi dari kasih-sayang ia firman sakti yang dikirim tuhan masa depan dalam tiap tetes kusebut namamu yang basah emme siapa yang lincah mendusta dan bermain kata?

MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

MEI 2006

PONTIANAK, ISTERI DENGAN WAJAH SEMURNI TANAH

Subuh dengan fajar palsu merah jambu. Kau isteri dengan paku. Kekasih, bangunlah untuk berzina seperti bapaku. Aku tinggalkan lidahku menari-nari. Di perut, pusat, antara bulu-bulu. Demi Allah, aku menetas di semenanjung berdarah dengan wajah seperti tanah. Kekasih, lidahku merah. Perempuan sepet yang datang bersama Subuh dan bilah-bilah fajarnya itu, kami menjadi gumpalan panas. Kau isteri dengan paku di lehermu masih dengan wajah semurni tanah.

MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

2006


Mohd Jimadi Shah Othman
Mohd Jimadie Shah Othman Foto: Marsli N.O.

Mohd Jimadie Shah Othman, 29, separuh wartawan, separuh penulis kreatif. Selain menulis berita politik, beliau turut menulis sajak, cerpen dan skrip drama secara kecil-kecilan. Jimadie turut berblog di jimadieshah.blogspot.com.

Mohd Jimadie Shah Othman Sajak

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Salam untuk sahabatku yang separuh2

    Aku menumpang separuh kagum dengan kepandaian kau mencipta sajak /puisi .

    Salam keimanan yang penuh