Kolum saya sebelum ini menyentuh tentang arah tuju PAS. Elok juga kiranya untuk kali ini saya menulis tentang arah tuju Parti KeADILan Rakyat (PKR) sempena Konges Khas parti tersebut.

Saya difahamkan Kongres ini telah dirancang lebih awal, namun kemelut isu di Perak telah menyebabkan ia tertangguh. Melalui laman Facebook, saya dimaklum oleh YB Nurul Izzah Anwar bahawa antara usul yang akan dibentangkan ialah:

i. Undian terus dari ahli biasa untuk memilih Presiden dan jawatan nasional yang lain (direct voting sebagaimana Pilihan Raya Presiden di Amerika Syarikat).

ii. Menghadkan tempoh perkhidmatan Presiden parti kepada hanya 3 penggal (9 tahun)

iii. Menambah kerusi Naib Presiden dari 5 ke 7 kerusi

iv. Perlantikan Ketua Perhubungan Negeri harus mendapat persetujuan Ketua-Ketua Bahagian.

v. Membenarkan perlantikan (tidak melebihi 1/3 jumlah ahli mesyuarat tertinggi) untuk memastikan tiada satu kaum mendominasi majlis tertinggi

vi. Membenarkan kesemua Yang Berhormat PKR untuk hadir dan diberi kuasa undi dalam kesemua Mesyuarat Perhubungan Negeri dan MT.

vii.Mengiakan dan Mengimarahkan lagi slogan Parti yakni “KEADILAN UNTUK SEMUA”.

Bagi memastikan Presiden tidak terlalu berkuasa, maka semua jawatan lantikan ke Majlis Pimpinan Parti seperti Setiausaha Agong, Bendahari, Ketua Komunikasi tidak mempunyai kuasa mengundi di dalam mesyuarat MPP walaupun berhak hadir sebagai ahli mesyuarat.

Begitu juga untuk memastikan suara wanita memainkan peranan penting dalam proses kepimpinan parti, maka perlembagaan memperuntukkan kuota 30% kerusi kepimpinan kepada kalangan wanita.

Dengan perubahan-perubahan di atas, KeADILan akan menjadi parti progresif ulung di negara dan proses demokrasi akan lebih menyerlah di dalam parti.

Kemudian, saya difahamkan ada empat usul lagi iaitu mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

941 orang perwakilan telah bersetuju dengan pindaan itu, 103 orang menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali semasa Kongres Khas tersebut. Sempena dengan Kongres tersebut juga menyaksikan Dato’ Zaid Ibrahim, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyertai PKR.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas keberanian PKR mengambil inisiatif ini. Dalam realiti sebilangan kelompok gusar dengan kedudukan Melayu, PKR berani membuka lebih ruang persaingan untuk merakyatkan slogan Keadilan Untuk Semua.

Saya fikir, agenda menghadkan tempoh khidmat Presiden di samping batasan kuasa semasa memimpin adalah sihat. Namun, ia tidak menjamin mudahnya untuk diterjemahkan, lebih-lebih lagi dengan karisma sosok Dato’ Seri Anwar. Acapkali seorang pemimpin perjuangan bertukar menjadi diktator pasca kemenangan perjuangan rakyat. Namun, pengalaman saya bercampur dengan pelbagai kelompok pendokong reformasi di dalam PKR menyebabkan saya berfikir bahawa kematangan demokrasi adalah tidak mustahil berlaku, perlahan tapi pasti. Saya tidak fikir pengaruh, pengalaman dan jasa Dato’ Seri Anwar akan mudah dilupakan, namun itu tidak bererti bahawa beliau tidak mungkin berbuat silap. Di sinilah kelebihan PKR yang merangkumi pelbagai aliran hingga kadangkala sukar dimengerti. Kejayaan mengajak kelompok-kelompok ini untuk duduk semeja merumus keutamaan perjuangan ternyata memerlukan resepi yang tidak mudah, apatah lagi hampir semuanya sangat vokal dengan agenda masing-masing.

Saya sedikit ralat dengan kuota 30% untuk wanita. Saya tidak bermaksud bahawa peranan wanita tidak diiktiraf, tetapi saya percaya bahawa wanita mampu bersaing berasaskan merit. Namun, mengambil kira realiti yang ada, mungkin PKR memerlukan sedikit masa untuk bersedia bergerak berasaskan merit sepenuhnya – tanpa sistem kuota. Saya mengerti bahawa kuota 30% penglibatan wanita dalam hal kepimpinan dan pentadbiran ini juga menjadi agenda Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ia sering dijadikan hujah Datuk Seri Shahrizat Jalil, tetapi janganlah kuota ini diambil mudah untuk membelakangkan merit.

Saya juga terbaca tulisan sinis saudara Hishamuddin Rais yang melihat angka 35 sebagai masih ‘mewakili suara tua’. Dalam wawancara bersama UmmahOnline.com tidak lama dulu, saya pernah menyatakan bahawa isu pokok ialah perjuangan (baca:gagasan), untuk saya had umur tidaklah menjadi masalah utama. Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa pengurangan 5 tahun ini sedikit sebanyak bersifat radikal. Saya mula mendengar cadangan ini saat saudara Ezam berbual dengan Tian Chua pada tahun 2004 di pejabat saudara Ezam waktu itu di Institut Kajian Dasar (IKD). Mungkin satu hari nanti kita akan mencontohi beberapa buah negara misalnya Filipina yang saya maklumi mengkategorikan anak mudanya sebagai berusia 30 tahun dan ke bawah. Jujurnya, dalam bidang pengajian belia, malah sosiologi sendiri, kelompok manusia memang ada dikategorikan berasas ciri demografik umur dan ia mewakili nilai dan pendekatan berbeza untuk berdepan dengan kelompok berbeza. Mungkin satu capaian pantas yang boleh diambil ialah kategori perkembangan manusia oleh Eric Erickson.

Di luar aspek teknikal ini, saya lebih berminat dengan usul “Mengia dan Mengimarahkan slogan Keadilan Untuk Semua”. Untuk saya, jatuh bangun masa depan PKR banyak bergantung kepada perbincangan falsafah tentang keadilan dan kebebasan yang kemudiannya diterjemahkan dalam tindakan dan aksi politik setiap pimpinan dan ahli.

Saya selalu menyatakan kepada teman-teman – baik yang berparti dan tidak – bahawa untuk melawan kezaliman cukup kita memerlukan kesedaran, tetapi untuk menegakkan keadilan, kita memerlukan kejujuran, kesedaran, kebijaksanaan dan keberanian. Memang kezaliman adakalanya memerlukan lebih dari kesedaran, tetapi cukup dengan adanya kesedaran membolehkan kita ‘melawan secara senyap’. Apa yang saya cuba maksudkan di sini secara umum ialah “lebih mudah bercakap tentang isu-isu kezaliman, salah guna kuasa dan sebagainya ketika menjadi pembangkang berbanding ketika menjadi kerajaan”.

Saya berharap, dengan menjadi “semakin demokratiknya PKR” akan membantu kemajuan demokrasi di Malaysia untuk kebebasan dan keadilan.

Mungkin elok saya nukilkan semula pesan Reinhold Neihbuhr dari tulisan Children of Lights and Children of Darkness yang dikutip sebagai antara baris penting dalam Perisytiharan Permatang Pauh untuk ingatan kita semua bahawa “keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi perlu”.

Atas nama demokrasi manusia boleh bergerak menemukan kebaikan umat dan atas nama demokrasi juga manusia boleh menjustifikasikan kezaliman mereka sebagai “disokong majoriti”.

PKR mungkin tidak memerlukan silibus teks usrah sebagaimana PAS, tetapi tiap ‘cabang’ dan ‘ranting’ (yang bunyinya berbaur Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) ini) harus bergerak menjadi minoriti kreatif – kelompok yang dibahasakan Sokrates – untuk mendobrak kebekuan persekitaran dan mengembangkan masyarakat madani.

Masa depan PKR bergantung kepada sejauh mana anak-anak muda yang mendokongnya sedia mempertahankan semangat Perisytiharan Permatang Pauh berbanding dari hanya untuk terlibat dalam politik kekuasaan yang penuh intrik semata-mata.

Sekali lagi, tanpa menafikan karisma, jasa, pengorbanan dan kebijaksanaan Dato’ Seri Anwar, mungkin segenap pendokong PKR patut mula membincangkan ruang yang cukup bagi perjuangan pasca-Anwar dapat diisi dengan baik.

Saya akhiri, seperti ayat terakhir yang disytiharkan di Permatang Pauh pada tanggal 12 September 1998: Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

______

Amin Ahmad ialah pelajar sepenuh masa di universiti kehidupan.

Amin Ahmad KeADILan Kolum politik Reformasi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan