Hadap-menghadap dengan Kekuasaan
Hadap-menghadap dengan Kekuasaan


Kang Zhengguo masih ingat saat ketika mana harapannya musnah. Jam 6 pagi, 4 Jun 1989. Beliau yang baru terjaga dari tidur lantas menghidupkan radio, mengharapkan berita gembira. Dua minggu sebelumnya, Deng Xiaoping telah mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera dalam percubaannya untuk menyekat kumpulan pembantah yang telah menawan China semenjak April, pun demikian para mahasiswa masih enggan meninggalkan Dataran Tiananmen.

Kang, profesor kesusasteraan di Universiti Xi’an Jiaotong yang terletak di tengah-tengah bandar Xi’an pernah dipenjarakan lantaran ideanya sewaktu Revolusi Budaya. Beliau punya sebab untuk berwaspada dengan gerakan mahasiswa. Pun begitu, sebagaimana para intelektual China yang lain, beliau turut menyokong demonstrasi, dengan harapan ianya mampu membawa perubahan politik yang sememangnya diperlukan, meski Tentera Pembebasan Rakyat China sedang mara ke bandar Beijing pada 3 Jun.

“Kami mengalami ilusi,” kata beliau. “Kami beranggapan sekiranya kumpulan mahasiswa benar-benar kuat, pihak tentera akan berpaling tadah seterusnya menyokong mahasiswa.” Kini, sebaik menukar siaran ke saluran radio Voice of America, beliau mendengar berita sebaliknya. Pihak tentera telah menembak secara terbuka.

Ratusan yang terbunuh, kebanyakannya para pemerhati dan pekerja yang berdiri di sepanjang laluan ke Dataran Tiananmen. Dalam tempoh beberapa jam, mahasiswa Xi’an Jiaotong telah menyebarkan berita tentang pembunuhan tersebut menerusi sistem PA universiti dan kemudiannya berhimpun di padang sukan untuk berarak ke pusat bandar. Kang menulis SASARKAN TEMBAKAN ANDA KE SINI di atas sekeping kertas dan menampalnya di atas dada beliau. Beliau kemudiannya ikut menyertai perarakan – memprotes dengan penuh hemah, tindakan yang kemudian mengubah haluan kerjayanya.

Untuk kebanyakan warga Barat, imej protes di China pada tahun 1989 telah jelas dizahirkan menerusi rakaman foto aksi seorang lelaki yang merenung sebuah kereta kebal, pemandangan yang takkan dilupakan, yakni satu kecaman terhadap kekuasaan seorang individu yang menentang kebangkitan rakyat. Namun protes-protes tersebut tidaklah seumpama pada tahun 1960-an yang mana ketika itu wujud kebangkitan kebangsaan secara senyap serta amarah penentangan yang merentasi kelas ekonomi, tahap pendidikan dan batas geografi.

Dalam tempoh satu setengah bulan sebelum pihak tentera menembak secara terbuka, mahasiswa di universiti-universiti sekitar China turun ke jalan raya. Para pekerja melancarkan mogok. Warga emas mengagihkan makanan dan minuman. Hatta, para pencuri pun menangguhkan hasrat mereka untuk menyamun.

Para intelektual di seluruh negara mempamerkan semangat khusus. Di Xi’an Jiaotong, menurut Kang, “70 peratus ahli fakulti menyokong para mahasiswa.” Selebihnya 20 peratus terlalu takut untuk menyuarakan pendapat. Hanya para pentadbir yang mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kestabilan sahaja secara terbuka membantah protes mahasiswa.

Namun, serangan oleh pihak tentera pada 4 Jun memutuskan terus sebarang harapan untuk keterbukaan dan perubahan. Untuk ratusan ribu rakyat yang mengambil bahagian dalam protes-protes di seluruh China pada tahun itu, serangan tersebut meninggalkan kesan mendalam yang mempengaruhi kehidupan, sehingga ada yang terpaksa melarikan diri, dipenjara dan mengakibatkan ramai yang menemui kegagalan dalam kerjaya. Lebih tersirat, tragedi pembunuhan di Tiananmen telah membentuk aliran arus intelektual untuk dekad-dekad mendatang.

Kini, pada ulangtahun ke-20 tragedi tersebut, para peserta bantahan di Dataran Tiananmen menyatakan bahawa ahli akademik Cina dan kehidupan para intelektualnya sangat-sangat berbeza.

Sebelum serangan pihak tentera, Kang sedang dalam proses untuk mendapatkan status sebagai profesor. Namun disebabkan penglibatannya dalam protes mahasiswa, prospek kenaikan pangkatnya di Xi’an Jiaotong lenyap. Beliau kemudiannya memohon kepada universiti yang lain, namun sekadar dimaklumkan bahawa rekod akademik dan penglibatan politiknya merupakan satu masalah. Menjelang tahun 1994, ketika mana beliau meninggalkan Xi’an untuk menjawat posisi di Yale – peluang keemasan yang muncul selepas seorang profesor membaca buku kritik sastera hasil penulisan Kang beberapa tahun sebelumnya – teman-teman sejawatnya mulai mempersoalkan kebaikan perubahan demokratik. Pada tahun 1996, China dilanda fenomena sebuah buku bertajuk ‘China Can Say No’, buku yang menggesa para pembacanya menolak gagasan pembaharuan demokratik “Barat”. Dua orang pengarang buku tersebut mendakwa merupakan antara mereka yang menyertai protes di Dataran Tiananmen.

Kang yang kini berusia 64 tahun dan menetap bersama keluarganya di New Haven masih tetap meneruskan kecamannya terhadap kerajaan China atas tragedi 1989 dengan mencatatkannya di dalam buku terbaru beliau, ‘Confessions: An Innocent Life in Communist China’. Namun sebaik kembali ke China, beliau dilabel sebagai penentang. “Saudara-mara dan kawan-kawan mengkritik saya” kerana membangkitkan soal politik, ujar beliau. “Kata mereka, ‘Kini China lebih baik berbanding dulu. Kehidupan seharian kami lebih terurus.” Pun begitu, tambah beliau, profesor-profesor lain juga telah berubah. “Mereka bicarakan tentang pembelian rumah, kereta, melancong ke luar negara, mendaftar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tertentu. Tiada siapa yang bercakap soal politik.” Beliau terdiam sejenak, seakan-akan mencari penjelasan. “Bukanlah kerana mereka takut, tetapi kerana mereka sememangnya tidak berminat.”

Pada 4 Mei 1919, ribuan mahasiswa dari 13 universiti sekitar Beijing berhimpun di Dataran Tiananmen untuk membantah kelemahan pemerintah dalam menangani Perjanjian Versailles yang mana antara lain memaktubkan beberapa syarat yang dirasakan tidak adil terhadap China. Gerakan mahasiswa tersebut berkembang hingga ke Shanghai dan mulai menular daripada kumpulan mahasiswa kepada golongan pekerja seterusnya membuka jalan ke arah penubuhan Parti Komunis. Pimpinan parti menganggap bahawa Gerakan 4 Mei sebagai sesuatu yang sangat penting kepada revolusi Komunis yang mana pada tahun 1958, ketika mereka merasmikan Monumen Untuk Wira Rakyat di tengah-tengah Dataran Tiananmen, turut diukir di satu sisi monumen tersebut adalah wajah-wajah para demonstran tahun 1919 dahulu.

Pada tahun 1989, ketika mana para mahasiswa berhimpun sekali lagi di Dataran Tiananmen, mereka memilih monumen tersebut sebagai pangkalan. “4 Mei sangat penting dalam sejarah China,” tegas Wang Chaohua, seorang mahasiswa yang muncul dalam senarai 21 orang paling dikehendaki oleh pemerintah selepas peristiwa serangan pihak tentera di Tiananmen. “Sepertimana gerakan mahasiswa 4 Mei, kami juga mahu menuntut satu pembaharuan.” Kata Wang, – yang baru selesai menyempurnakan ijazah kedoktoran dalam bidang bahasa dan kesusateraan Asia di University of California di Los Angeles – dalam tahun 1919 dan 1989, “pihak berkuasa politik tidak menguasai imaginasi awam. Kekosongan itu seterusnya diisi dengan kekuatan intelektual.”

Mahasiswa pada mulanya berhimpun di dataran tersebut pada 15 April 1989 untuk berkabung atas kematian Hu Yaobang, seorang reformis yang disingkir dari hierarki kepimpinan Komunis pada tahun 1987. Kebanyakan mahasiswa, yang dilahirkan menjelang Revolusi Kebudayaan dan membesar pada masa bertebarnya pelbagai sandiwara politik; melihat demonstrasi sebagai saluran paling efektif untuk mempengaruhi satu-satu dasar. Namun faktor-faktor lain turut menyumbang ke arah pergolakan ini – di kalangan para profesor dan mahasiswa. Pembaharuan ekonomi yang mulai bertumbuh telah menghasilkan kesan yang tidak mencukupi keperluan kelas terpelajar. Sebaliknya, para intelektual menyaksikan tingkahlaku pimpinan parti yang menyalahgunakan kuasa dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka sendiri.

“Salah satu nyalaan yang membakar [para cendekiawan] ialah kerana mereka telah dilayan dengan teruk,” ujar Perry Link, sejarawan dari University of California di Riverside. “Mereka berpendapatan rendah dan tidak mampu mengembara, makanya mereka kerap kali mengadu. Ini seterusnya membentuk tanggapan mereka atas kebejatan yang berlaku di China secara lebih konkrit.” Slogan “Naikkan gaji para cendekiawan!” merupakan antara yang dilaung di dataran tersebut.

Mahasiswa juga menuntut lebih kebebasan dalam kehidupan peribadi mereka. Sebelum 1989, pihak universiti mengawal ketat aktiviti peribadi mahasiswa, mengenakan sekatan dan larangan dari keluar berpacaran. Di dataran tersebut, mahasiswa menari dan mendengar muzik bintang pop Hou Dejian. Di dalam keterujaan tersebut, seorang pemimpin mahasiswa, Li Lu mengisytiharkan bahawa dirinya masih seorang teruna. Beliau dan teman wanitanya kemudiannya melangsungkan perkahwinan di atas Monumen Untuk Wira Rakyat, dan para demonstran meraikan pasangan tersebut dengan acara minum ucap selamat dengan air garam yang digunakan dalam mogok lapar mereka. “Apa yang kami mahu?” Wu’er Kaixi, seorang lagi pemimpin gerakan mahasiswa ketika ditanya berkenaan generasinya dalam dokumentari tahun 1995 bertajuk The Gate of Heavenly Peace. “Kasut Nike. Dan masa lapang untuk membawa teman wanita kami mengunjungi bar. Juga kebebasan untuk kami berbincang sesuatu isu dengan orang lain.”

Ekoran daripada peristiwa 4 Jun, kebebasan yang dituntut muncul. Deng memperhebatkan reformasi pasaran dengan memulakan lawatan ke selatan China pada 1992, kawasan asal industri pembuatan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat. Ketika mana China mengecap kemakmuran, aliran wang kerajaan mulai masuk ke dalam industri akademik. Pada lewat tahun 1990-an, China melancarkan Projek 211 dan Projek 985 yang menyaksikan peruntukan berbilion yuan disalurkan kepada puluhan universiti. Kementerian Pelajaran China menambahkan peluang kepada para cendekiawan untuk ke luar negara dan mengumumkan dana baru penyelidikan bagi mereka yang menetap di dalam negara. Pada masa yang sama, kader-kader parti di kementerian dan universiti semakin hilang kawalan ke atas kehidupan peribadi mahasiswa.

Sejak 1989, “mereka senantiasa cuba untuk menghilangkan sumber kekecewaan sehingga menyebabkan para cendekiawan turun ke jalan raya,” ujar Jeffrey Wasserstrom, sejarawan dari University of California di Irvine. “Kehidupan harian kampus semakin kurang dicampuri oleh pihak pengurusan, kawalan terhadap lawatan sambil belajar juga semakin berkurangan. Jumlah buku yang boleh dibeli di toko-toko buku semakin banyak dan bertambah. Mahasiswa kini mampu menjadi sebahagian daripada budaya anak muda global.”

Bahagian Kedua

Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari artikel asal tulisan Mara Hvistendahl berjudul “The Great Forgetting: 20 Years After Tiananmen Square” terbitan The Chronicle Review, Bil. 55, Isu ke-38 (terbit 29 Mei 2009).

Najwan Halimi merupakan kolumnis laman JalanTelawi.com. Beliau boleh dicapai menerusi laman blognya di www.najwanhalimi.com

China Komunis Mara Hvistendhal Najwan Halimi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan