Hasmi bin Hashim

Najib Razak, bahkan Khairy Jamaluddin mahupun Abdullah Badawi sendiri, adalah contoh ketua yang tidak punya persiapan gagasan. Tidak punya idea dan seolah-olah begitu jauh daripada merasakan ‘kegelisahan’ zaman. Kecuali hanya untuk sampai menjadi ketua.

Lihat bagaimana Abdullah, misalnya, tiba-tiba apabila menjadi Perdana Menteri, melontarkan idea “Islam Hadhari.” Satu negara jadi heboh tidak mengerti. Namun, oleh karena ketika itu beliau berkuasa, maka konsep Islam Hadhari pun tertulis di mana-mana. Dari akhbar, majalah, dicetak ‘kitab-kitab’ sehinggalah ke papan-papan iklan yang besar-besar.

Habis Abdullah; habis Islam Hadhari. Datang pula Najib yang dalam sehari selepas dilantik menjadi orang nombor satu, melaungkan konsep “1Malaysia.”

Dalam ucapannya di Pekan, Pahang, beliau mengakui bagaimana beliau juga harus membawa satu slogan apabila pendahulu beliau, Abdullah ada Islam Hadhari, atau Dr Mahathir Mohammad sendiri, terkenal pula dengan “Wawasan 2020.”

Bagi pemimpin Umno, idea dan gagasan bukan perkara penting, ia boleh diperolehi segera seperti “ayam cocok”, membesar dan boleh dimakan hanya dalam waktu singkat. Sikap sambil lewa sebahagian besar ahli politik ini sekaligus membuktikan bagaimana perjuangan mengangkat darjat dan maruah bangsa hanya cakap-cakap kosong. Bagi mereka, yang penting, kuasa-kuasa-kuasa. Apabila kuasa hilang, mereka kembali menjadi tidak penting dan kubur mereka tidak akan berbunga kemboja.

Seketika cuba kita bezakan bagaimana Presiden Barrack Hussein Obama sepanjang perjalanan kempennya menuju Rumah Puteh, tidak habis-habisnya beliau bercakap tentang dasar dan polisi yang besar. Yang mahu beliau tawarkan kepada rakyat Amerika. Dari soal pendidikan, sehinggalah kepada dasar luar negara, perubatan, meliputi aspek demokrasi dan kebebasan. Semua itu, dirumuskan di dalam slogan utama Barrack–“Change.”

Tidak di Malaysia. Pada hemat saya, hanya dua tokoh kontemporari yang ketika meniti tangga politik sejak muda bergelumang dengan persoalan-persoalan besar zamannya. Dr Mahathir, meski bagaimana beliau dikritik atas sikap autokratiknya, namun beliau melakarkan banyak sekali pandangan, idea dan gagasannya di dalam pelbagai bentuk tulisan. Beberapa buah buku beliau hasilkan, yang kemudiannya dibincangkan di pelbagai peringkat seminar. Besar dan kecil.

Begitu juga dengan tokoh kedua ini, iaitu Anwar Ibrahim. Semakin dekat beliau mencapai puncak kuasa sebagai ketua negara, semakin bertungkus-lumus beliau mengepal pelbagai idea dan gagasan. Kita tahu bagaimana satu persatu persoalan beliau depani, yang kemudiannya sangat dekat diasosiasi dengan ketokohan beliau sendiri.

Misalnya, tatkala semua orang kabur akan kaedah memperkukuh masyarakat, Anwar datang membawakan konsep “masyarakat madani” sebagai pengimbang kepada kuasa politik kekuasaan yang terlalu besar. Berpuluh tahun kemudiannya, batu tanda masyarakat madani itu bolehlah dijadikan ukuran bagaimana Anwar adalah seorang yang demokratik. Bayangkan sahaja bagaimana seorang ahli politik, yang secara tipikalnya sering tergiur dengan kuasa, namun membawakan konsep di mana kekuasaan politik itu sendiri wajar diimbangi dengan kekuatan masyarakat sebagai sendi yang sangat penting dalam sistem negara keseluruhannya.

Hanya hari ini, kita mula mengerti bagaimana antara keperluan “Negara Minima” dengan wujudnya realiti masyarakat madani. Dan, Negara Minima tidak lain tidak bukan adalah kesedaran yang agak baru, meskipun di Amerika dan Eropah sudah agak lama melihat bagaimana kekuasaan negara adalah bahagian daripada masalah dan persoalan yang menyekat demokrasi sebagai aspek yang perlu ditatang sebaiknya.

Dalam erti kata mudah, sekiranya kekuasaan negara terlalu besar, seperti apa yang wujud di Malaysia hari ini, sebagai contoh, atau di Singapura, maka hak, demokrasi dan kebebasan rakyat akan terhakis. Penguasa seakan tidak boleh langsung ditegur atau dijentik. Pada titik ini, kemanusiaan bisa terhakis dari sana—dan inilah asas moral yang sering dipertimbangkan, karena yang wajar memperoleh kebahagian adalah tiap-tiap manusia (warganegara) dan bukan institusi, termasuklah Negara yang tidak mempunyai hati-naluri sebagaimana manusia.

Kita mempunyai contoh cukup banyak di kalangan bangsa Nusantara sendiri. Harus kita berikan kehormatan yang tinggi kepada para pemimpin yang mempunyai kekuatan pemikiran yang menjadi bahagian daripada keperluan politik. Presiden pertama Indonesia, Seokarno, misalnya, adalah seorang yang bergelut dengan pelbagai persoalan besar. Buktinya apabila beliau sejak muda menuliskan begitu banyak makalah dan buku. Begitu juga dengan nama pejuang kemerdekaan di zaman penjajah seperti Muhammad Natsir, Muhammad Hatta atau di Malaysia tokoh seperti Ahmad Beostaman, Asri Muda, Dr Burhanuddin Helmi dan ramai lagi.

Mereka bukan hanya sekadar “ahli politik biasa”, yang ‘kosong-kosong’ tetapi juga dikenali dan dihormati sebagai pembawa obor pemikiran, perungkap resah dalam ikhtiar memahami persoalan zaman.

Soal menang-kalah di dalam perlumbaan politik adalah soal lain—namun, ahli politik yang mencecah derajat “negarawan” bolehlah diukur bukan sangat daripada kelicikan bermain silap-mata politik semata-mata. Lebih mendasar jejak politik (atau lebih elok disebut sebagai “perjuangan”) mereka adalah idea, gagasan dan kesedaran yang mencetuskan desakan untuk melangkah di atas jalan politik.

Sayang, kita semakin kekurangan pemimpin yang punya kesedaran begini—termasuk di kalangan pimpinan muda. Yang disibukkan hanya melontar dan menjawab isu hari-hari sebagai sebahagian daripada jadual politik yang perlu dipenuhi. Kalau ditanya, apabila mereka sampai ke jawatan tertinggi kelak, apakah yang mahu mereka lakukan?

Saya percaya, ramai yang terkebil-kebil. Belum tahu. Belum pasti ke arah mana bangsa ini akan dipandu, atau apakah kegelisahan zaman ini yang harus diselesaikan agar tidak melarat menjadi kegilaan yang tidak terbendung nantinya…

Sekali lagi, kita lihat bagaimana ahli-ahli politik itu, berebut-berebut untuk mendapatkan tempat, termasuk di kalangan yang tergiur untuk menjadi ketua sayap pemuda dalam parti masing-masing. Apakah yang hendak mereka laksanakan apabila mempunyai kuasa kelak? Saya yakin, mereka tidak akan mampu menjawab.

Soalan asas ini sekalipun cuba ditepis dengan buah politik. Sekali lagi dan seterusnya.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Hasmi bin Hashim Politik Gagasan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Tanggungjawab menyedarkan itu datang dari siapa? Tanggungjawab memberi kuasa itu pun pastinya dari sumber yang sama. Tiada mandat tiada kuasa. Bodoh-bodoh belaka.

  2. kudos….entri yg menarik….seperti juga anda dan semua org, saya masih lagi benar-benar menanti pemimpin yg betul-betul ‘pemimpin’, dan diharapkan anda adalah salah seorang yg saya cari, walaupun saya tidak menyokong anda dan juga tampuk pimpinan anda….

  3. Aku rasa apa yang Hasmi cuba nyatakan ialah tentang bagaimana pemimpin yang hendak jadi pemimpin tahu letakkan keutamaan gagasan sebagai hal yang tinggi dan penting… Bukan hanya nak main politik macam yang kita saksikan hari ini! Betul tak? :p

  4. siapa pemimpin muda pelapis seperti tokoh2 yg hasmi sebut? persoalan ini bkn sekadar ingin tahu siapa tetapi ada atau tidak sekumpulan atau masyarakat seluruhnya yang ada kesedaran yang tinggi?soekarno, sebagai contoh, tidak hanya menulis buku2 dan makalah melainkan cara pikir, kesedaran yang benarlah yang mengangkat beliau menjadi pemimpin