Amartya Sen bersama isterinya, Emma Rotschild.
Amartya Sen bersama isterinya, Emma Rotcshild. © Shaju John

Amartya Sen

Tahun 2008 merupakan tahun yang dilanda dengan pelbagai krisis. Krisis yang pertama adalah krisis makanan yang mengancam terutama sekali pengguna-pengguna miskin, khususnya yang berada di Afrika. Dalam masa yang sama dengan krisis itu, harga minyak melonjak naik ke paras paling tinggi dalam sejarah sehingga mengancam negara-negara pengimport minyak. Akhir sekali, dengan agak mengejut dalam musim luruh, ekonomi global mula merudum, dan sekarang ini semakin menurun dengan kepantasan yang menggerunkan. Tahun 2009 kelihatannya akan menawarkan kadar kemerosotan yang teruk , dan ramai di kalangan ahli ekonomi meramalkan kegawatan penuh pada tahun ini. Ketika nilai kekayaan yang kukuh mula merosot, mereka yang paling terkesan ialah orang yang selama ini secara ekonominya tidak seberapa.

Soalan yang begitu lantang sekali ditanyakan sekarang ini adalah berkaitan dengan sifat alami kapitalisme itu dan adakah ia harus diubah. Segolongan pembela kapitalisme tanpa kawalan menolak sebarang perubahan, meyakini bahawa kapitalisme sering secara berlebihan dituduh sebagai penyebab kepada masalah-masalah ekonomi jangka pendek—masalah-masalah yang mereka anggap berpunca dari urus tadbir yang buruk (sebagai contoh oleh pentadbiran Bush) dan kelakuan buruk segelintir individu ( atau apa yang disifatkan oleh John Mccain sebagai “keserakahan Wall Street”). Bagaimanapun, ada di antara mereka yang lain melihat kecacatan yang serius di dalam aturan ekonomi yang ada sekarang dan mahu mengubahnya dengan mencari pendekatan alternatif yang dikatakan sebagai “kapitalisme baru”.

Pendapat tentang kapitalisme lama dan baru memainkan bahagian penting di dalam sebuah simposium yang bertajuk “Dunia Baru, Kapitalisme Baru” yang diadakan di Paris pada bulan Januari yang dianjurkan oleh presiden Nicolas Sarkozy dan mantan perdana menteri British, Tony Blair. Keduanya memberikan persembahan yang menarik tentang perlunya perubahan. Begitu juga Canselor German Angela Merkel yang bicara soal pemikiran Jerman lama tentang “social market”—yang dibatasi oleh campuran dasar-dasar yang menjadi konsesnsus bersama—sebagai sekeping cetak biru untuk sebuah kapitalisme baru (walau Jerman tidaklah lebih baik dalam menghadapi krisis ini berbanding dengan ekonomi pasar yang lain.)

Pemikiran untuk mengubah struktur organisasi masyarakat dalam jangka masa panjang adalah jelas diperlukan, berbeza dengan strategi-strategi jangka pendek untuk menangani krisis. Saya akan memilih tiga soalan dari banyak soalan lain yang ditimbulkan. Pertama, adakah kita sangat memerlukan “kapitalisme baru” berbanding sebuah sistem ekonomi yang tidak monolitik yang berasaskan pelbagai institusi yang dipilih secara pragmatik dan berdasarkan pada nilai-nilai sosial yang dapat kita pertahankan secara etiknya? Perlukah kita mencari sebuah kapitalisme baru atau sebuah “dunia baru”—untuk mengutip apa yang dikatakan di pertemuan di Paris itu—yang akan mengambil bentuk yang baru?

Soalan yang kedua berkaitan dengan jenis ekonomi yang diperlukan hari ini terutamanya pada saat krisis ekonomi kini. Bagaimana kita patut menilai apa yang telah diajar dan diperjuangkan oleh ahli ekonomi sebagai petunjuk dalam dasar ekonomi—termasuk kebangkitan semula pemikiran Keynesian dalam bulan-bulan kebelakangan ini ketika krisis mula merosot? Lebih khususnya, apakah yang telah ditunjukkan oleh krisis ekonomi yang berlaku ini berkenaan institusi-institusi dan keutamaan-keutamaan yang sepatutnya dilihat? Ketiga, sebagai tambahan kepada usaha kita untuk melakukan penilaian yang lebih baik tentang perubahan jangka panjang yang diperlukan, kita harus berfikir—dengan pantasnya berfikir—tentang bagaimana hendak keluar dari krisis ini dengan mengurangkan kerosakan sekecil yang mampu.

2.

Apakah sifat-sifat istimewa yang menjadikan suatu sistem itu sebagai sistem kapitalis—lama atau baru? Jika sistem ekonomi kapitalis sekarang ini ingin diubah, apa yang dapat menjadikan hasil akhirnya sebuah kapitalisme baru dan bukan sesuatu yang lain dari itu? Tanggapan secara umumnya ialah kebergantungan kepada pasar untuk transaksi ekonomi merupakan satu syarat penting untuk sebuah ekonomi itu dikenali sebagai kapitalis. Di samping itu juga, pergantungan pada motif membuat untung dan ganjaran individu yang berdasarkan pada pemilikan persendirian dilihat sebagai sifat utama kapitalisme. Pun begitu, jika ini menjadi keperluan yang penting, adakah sistem-sistem ekonomi yang kita miliki sekarang, sebagai contoh di Eropah dan Amerika, benar-benar sistem kapitalis?

Semua negara maju di dunia ini—negara-negara di Eropah, AS, Kanada, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia dan lainnya—telah, semenjak beberapa lama, bergantung sebahagiannya kepada transaksi dan bentuk pembayaran lain yang banyak berlaku di luar pasar. Ini termasuklah faedah pengangguran, dana saraan, bentuk-bentuk sekuriti sosial yang lain, dan juga bantuan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diagih menerusi aturan bukan-pasar. Hak ekonomi yang berkaitan dengan perkhidmatan seperti itu tidak berasaskan pada pemilikan persendirian dan hak milik.

Begitu juga, untuk sesuatu ekonomi pasar itu berfungsi ia bukan hanya bergantung kepada proses memaksimakan untung tetapi juga kepada aktiviti-aktiviti lain, seperti menjaga keselamatan awam dan menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan awam—yang sebahagiannya telah membawa ramai orang melampaui sistem ekonomi yang hanya digerakkan oleh keuntungan. Prestasi sistem yang dikatakan kapitalis itu, yang perlu disebut di sini ialah, apabila banyak perkara bergerak ke hadapan, bersumberkan kombinasi beberapa institusi [pendidikan menerusi dana awam, penjagaan kesihatan, dan prasarana pengangkutan awam hanyalah sebahagian dari institusi-institusi tersebut] telah melampaui satu peringkat yang hanya bergantung kepada sebuah sistem ekonomi yang memaksimakan keuntungan dan pemilikan peribadi yang terbatas pada konsep pemilikan persendirian.

Yang mendasari isu ini ialah sebuah soalan asas: adakah kapitalisme adalah istilah yang sesuai seperti apa yang digunakan pada hari ini. Idea tentang kapitalisme memang mempunyai peranan penting dalam sejarah, tetapi hari ini kegunaannya itu mungkin sudah semakin kering maknanya.

Sebagai contoh, karya-karya Adam Smith pada abad ke lapan belas menunjukkan kepentingan dan dinamisme ekonomi pasar, dan mengapa—dan terutama sekali bagaimana—dinamisme itu berlaku. Kajian Smith menawarkan diagnosis yang begitu jelas bagaimana pasar bergerak apabila dinamisme itu muncul dengan teguhnya. Sumbangan yang dibuat oleh The Wealth of Nations yang diterbitkan pada tahun 1776 dalam memahami apa yang disebut sebagai kapitalisme sangat besar sekali. Smith menunjukkan bagaimana dengan membebaskan perdagangan selalunya dapat membantu kemakmuran ekonomi melalui pengkhususan di dalam pengeluaran dan pembahagian kerja dan menggunakan dengan baik ekonomi bidangan.

Pengetahuan tentang hal itu masih relevan sehingga ke hari ini (adalah menarik jika dilihat kajian analitikal perdagangan antarabangsa yang sofistikated dan mengkagumkan oleh Paul Krugman yang mendapat anugerah Nobel begitu rapat kaitannya dengan pandangan Smith lebih dari 230 tahun lalu). Analisis ekonomi yang berdasarkan kepada penjelasan-penjelasan tentang pasar dan kegunaan modal di dalam abad ke lapan belas itu telah berjaya untuk membangunkan sistem pasar di dalam korpus penulisan ekonomi arus perdana.

Bagaimanapun, ketika sumbangan positif kapitalisme menerusi proses pasar telah dijelaskan, sisi negatifnya juga menjadi semakin jelas—selalunya kepada penganalisis yang sama. Ketika sebilangan pengkritik sosialis, terutama sekali Karl Marx, dengan begitu berpengaruh mengecam dan dengan hebatnya ingin mengganti kapitalisme. Keterbatasan yang besar wujud jika hanya bergantung seluruhnya ke atas ekonomi pasar dan motif keuntungan. Hal ini juga menjadi begitu jelas bahkan kepada Adam Smith sendiri. Bahkan, penyokong-penyokong awal ekonomi pasar, termasuk Smith, tidak mengambil mekanisme pasar seluruhnya sebagai penyebab yang baik yang dapat berdiri sendiri, dan mereka juga tidak mengambil motif keuntungan sebagai satu-satunya yang diperlukan.

Walaupun manusia menjalankan perdagangan kerana kepentingan sendiri (selain dari kepentingan sendiri tidak diperlukan apa-apa motif lain menurut Smith, di dalam menjelaskan kenapa pembuat roti, pembuat arak, penjual daging dan pengguna menjalankan urusniaga mereka), bagaimanapun sebuah ekonomi dapat berfungsi dengan efektif hanya di atas asas kepercayaan di antara pihak yang berbeza. Apabila aktiviti perniagaan, termasuk bank-bank dan perniagaan kewangan yang lain, mendapat keyakinan bahawa mereka boleh dan akan melakukan apa yang mereka janjikan, maka hubungan antara pemiutang dan penghutang dapat berlangsung dengan lancar dan saling bantu-membantu. Seperti yang ditulis oleh Adam Smith:

Apabila rakyat sebuah negara yang tertentu mempunyai keyakinan pada kekayaan, sifat integriti dan berhemah seseorang pemilik bank itu, dengan mempercayai bahawa dia sentiasa bersedia untuk membayar atas apa sahaja permintaan seperti yang tercatat pada nota janjinya pada bila-bila masa ditunjukkan kepadanya; nota itu mempunyai nilai tukaran yang sama seperti wang perak atau emas, disebabkan keyakinan bahawa wang tersebut pada bila-bila masa sahaja dapat diberikan kepada mereka. [1]

Smith menjelaskan mengapa kadangkala hal ini tidak berlaku, dan saya kira, dia barangkali tidak akan mendapati suatu perkara yang membingungkan di dalam kesukaran yang dihadapi hari ini oleh banyak perniagaan dan bank-bank kerana merebaknya rasa takut dan tidak yakin yang menyebabkan pasaran kredit membeku dan menghalang peluasan kredit secara koordinatif.

Adalah patut untuk disebut di dalam konteks ini, terutama sekali selepas konsep “negara kesejahteraan” muncul lama kemudian selepas zaman Smith, bahawa di dalam tulisannya, apa yang menjadi keprihatinannya yang utama—dan kebimbangannya—ialah tentang nasib orang miskin dan mereka yang tidak bernasib baik. Kegagalan mekanisme pasar yang jelas ialah terdapat perkara-perkara yang tidak selesai yang ditinggalkan oleh pasar. Analisis ekonomi Smith melampaui soal melepaskan segalanya untuk diselesaikan oleh tangan ghaib dalam mekanisme pasar. Bahkan dia bukan sahaja membela peranan negara di dalam menyediakan perkhidmatan awam seperti pendidikan, dan bantuan kepada rakyat miskin (dia pernah menuntut lebih kebebasan untuk mereka yang miskin yang menerima bantuan berbanding apa yang terkandung di dalam Poor Laws pada masa itu), dia juga begitu prihatin berkenaan dengan ketaksamarataan dan kemiskinan yang wujud di tengah kejayaan sebuah ekonomi pasar.

Kurangnya kejelasan mengenai perbezaan antara keperluan dan kecukupan pasar merupakan sebab kesalahfahaman di kalangan mereka yang mengaku pengikutnya pada penilaian yang telah dibuat oleh Smith terhadap mekanisme pasar. Sebagai contoh, pembelaan Smith terhadap pasar makanan dan kritiknya pada kekangan negara di dalam jual beli persendirian makanan ruji selalu ditafsirkan sebagai hujah untuk mengatakan bahawa campur tangan negara akan menyebabkan kelaparan dan kebuluran manjadi semakin teruk.

Sedangkan pembelaan Smith terhadap jual beli persendirian hanyalah dalam bentuk yang menafikan kepercayaan bahawa dengan menghentikan perdagangan makanan dapat mengurangkan beban kelaparan. Ini tidaklah menafikan keperluan negara untuk menyempurnakan pasar itu dengan mencipta perkerjaan dan pendapatan (misalnya menerusi program kerja). Jika pengangguran naik tinggi ini adalah kerana situasi ekonomi yang memburuk atau kerana polisi yang teruk. Pasar sahaja tidak akan mencipta semula pendapatan mereka yang kehilangan kerja mereka. Mereka yang menganggur, tulis Smith,”sama ada akan kelaparan, atau terpaksa menyara hidup dengan meminta sedekah atau dengan melakukan jenayah yang besar,” dan “kehendak, kebuluran, dan kadar kematian akan segera muncul…”[2] Smith menolak campur tangan yang mengenepikan pasar—tetapi tidak campur tangan dengan menyertakan pasar sementara mensasarkan perkara-perkara penting yang mungkin ditinggalkan tidak selesai oleh pasar.

Smith tidak pernah menggunakan istilah”kapitalisme” (sekurang-kurangnya yang saya telah saya kesan), tetapi adalah sukar untuk membentuk dari karya-karyanya teori berkenaan kecukupan pasar, atau keperluan untuk menerima dominasi modal. Dia bercakap tentang kepentingan nilai-nilai yang luas yang melampaui keuntungan di dalam The Wealth of Nations, tetapi di dalam buku pertamanya, The Theory of Moral Sentiments yang diterbitkan suku abad lamanya pada tahun 1759, dia membuat kajian yang meluas terhadap keperluan tindakan-tindakan yang didasarkan pada nilai-nilai yang melampaui soal pencarian untung. Ketika dia menulis bahawa “sifat hemat” (prudence) adalah “kebaikan yang paling berguna kepada seseorang individu,” Adam Smith juga mana kala berhujah bahawa “kemanusian, keadilan, sifat dermawan, dan semangat kemasyarakatan, merupakan kualiti-kualiti yang berguna kepada orang lain.” [3]

Smith melihat pasar dan modal berfungsi dengan baik di dalam ruang mereka, tetapi pertama sekali, pasar dan modal memerlukan sokongan dari pelbagai institusi lain—termasuk perkhidmatan awam seperti sekolah—dan nilai-nilai selain dari semata-mata mencari untung, dan kedua, diperlukan juga kawalan dan pembetulan oleh institusi-institusi yang lain—misalnya peraturan kewangan yang baik dan bantuan negara terhadap rakyat miskin—untuk mengelakkan ketidakstabilan, ketaksamarataan dan ketakadilan. Jika kita ingin mencari pendekatan yang baru dalam pentadbiran aktiviti ekonomi yang termasuk dalamnya pilihan pragmatik pelbagai perkhidmatan awam dan peraturan-peraturan yang dibentuk dengan baik, kita sepatutnya mengikut bukannya meninggalkan agenda perubahan yang digariskan oleh Smith sebagai kapitalisme yang dipertahankan dan yang dikritiknya itu.


Adam Smith, An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations, diedit oleh R.H. Campbell dan A.S. Skinner (Clarendon Press, 1976), I, II.ii.28, p. 292.

Smith, The Wealth of Nations, I, I.viiii.26, p. 91.

Adam Smith, The Theory of Moral Sentiments, diedit oleh D.D. Raphael dan A.L. Macfie (Clarendon Press, 1976), pp. 189–190.