Industri perfileman di Korea Selatan mengalami perubahan lantaran lahirnya pengarah-pengarah filem yang membawa tema dan ide baru dalam filem mereka sejak 10 tahun kebelakangan ini. Perubahan tersebut menjadikan nama mereka meniti di bibir-bibir mulut penggemar dan pembikin filem dari luar.

Sebut sahaja nama mereka – Park Chan Wook, Lee Chang Dong atau Kim Ki Duk – hasil-hasil kerja mereka, mendapat pujian masyarakat antarabangsa. Chan Wok – terkenal dengan trilogi filem balas dendam (Vengence Trilogy), Chang Dong – kekosongan jiwa dan kecenderungan mencari agama baru di Korea (Secret Sunshine) dan Ki Duk dengan kisah tragedi, kebisuan atau kesenyapan dan ‘kegilaan’ luar biasa.

Sebelum ini ketiga-tiga pengarah ini pernah mendapat pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Cannes. Bagaimanapun Kim Kim Duk turut mencipta nama dalam sirkit festival filem antarabangsa yang lain seperti di Berlin dan Venice sudah cukup beliau dinobatkan sebagai pengarah muda Korea yang versatile dan prolifik.

Stail Pengarahan

Dalam tulisan ini, saya hanya menumpukan kepada filemografi Kim terutama dari sudut stail pengarahan dan kekuatan naratif jalan cerita. Menulis dan mengarah skrip yang ditulisnya, telah memberi kelebihan kerana beliau bebas bereksperimen dan arif apa yang perlu dalam filem.

Dalam pemerhatian saya, pengarahan Kim Ki Duk cukup provokatif dan penuh kreativiti. Beliau selalu memulakan filemnya dengan suatu kejutan dengan tragedi. Sebagai contoh, Dream (2008) bermula dengan kemalangan jalan raya di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Kim menggarap tragedi-tragedi seperti putus cinta, tragedi dalam keluarga seperti krisis rumah tangga, mahupun tragedi yang berlaku kepada diri sendiri. Tragedi tersebut berfungsi sebagai twist menggerakkan plot cerita, untuk menuju ke klimaks.

Beliau, dengan baik sekali, berjaya membawa scene membalas dendam terhadap tragedi yang menimpa, penonton turut bersimpati dengan apa yang berlaku dan sebagai satu pengajaran.

Kim bijak ‘memacu’ tumpuan penonton hingga kepada klimaks. Ia berlaku lantaran kesan yang menimpa protagonis lantas menimbulkan pemberontakan dalaman. Suatu halangan membawa kesan emosi yang tidak sedikit sebagai satu protes lalu menimbulkan satu ‘kegilaan’ atau emosi luar kawalan.

Dalam filem-filemnya, Kim selalu menggunakan teknik long shot dalam penggambaran yang diiringi dengan musik mendayu-dayu. Sepanjangan pengamatan, ke semua filem-filemnya tidak dibuat di dalam studio, sebaliknya penggambaran dilakukan di lokasi yang sebenarnya agar ‘mood’ dan suasana realiti dapat dirasai kecuali penggambaran tersebut di buat dalam bilik, rumah atau penjara.

Dalam erti kata yang lain, beliau gemar berinteraksi dengan alam semulajadi. Laut, hutan, air, bukit bukau, gunung ganang, cuaca empat musim – menjadi latar dalam filemnya dan semuanya mempengaruhi perwatakan pelakon-pelakon. Filem Spring, Summer, Fall, Winter… and Spring (2003) adalah contoh yang mengisahkan tentang perubahan perwatakan manusia seiring dengan perubahan masa.

Kegilaan melahirkan kegilaan yang lain

Dalam filem Time (2006), kebosanan Seh Hee (Park Ji-a) berasa hubungan bersama kekasihnya semakin hari semakin dingin. Lalu mengambil keputusan nekad dan ‘gila’dengan membuat pembedahan plastik pada wajahnya. Dengan harapan kehangatan cinta kekasihnya Ji-Woo (Ha Jung Woo) kembali panas. Tetapi berlaku sebaliknya, enam bulan, Ji-Woo berada dalam keresahan dan kegilaan mencari kehilangan kekasihnya tanpa jejak.

Selepas enam bulan, Seh-hee muncul dengan wajah baru, Malangnya, kekasihnya bercinta dengan wanita lain, See Hee (Sung Hyun-Ah). Seh Hee berusaha meyakinkan Ji-Woo bahawa dia adalah Seh Hee yang dahulu tetapi dengan wajah baru. Bagaimanapun rancangannya gagal. Dia jadi ‘gila’ lalu menukar kembali wajahnya kepada asal.

Ini yang saya maksudkan dengan ‘kegilaan’. Menjadi ‘gila’ akibat sesuatu melahirkan satu ‘kegilaan’ yang lain. Filem beliau The Coast Guard antara contoh terdekat bagaimana kegilaan melahirkan kegilaan yang lain.

‘Kegilaan’ yang luar biasa juga dapat saya tafsirkan seperti percubaan melanggari proses alamiah dan semulajadi manusia. Kesalahan seorang lelaki melanggari fitrahnya dengan membunuh seorang perempuan, lalu beliau dihukum oleh datuknya, menoreh dan mengukir ajaran-ajaran buddha yang ditulis di lantai kuil sehingga habis tanpa makan dan minum.

Tema filem yang kuat

Kekuatan skrip yang sarat dengan tema provokatif dan jalan cerita yang baru turut menobatkan Kim Ki Duk sebagai pengarah filem yang prolifik. Tema yang pelbagai seperti cinta, pelacuran, peperangan, kerohanian, krisis rumah tangga dan krisis dengan kekasih menjadikan Kim sebagai pembikin filem yang kreatif.

Walaupun nampak cliche tetapi naratif cerita yang bertenaga ditunjukkan menggambarkan keadaan realiti sebenar masyarakat Korea. Beliau menggarap perubahan struktur masyarakatnya – terutama anak muda – mencari wang dengan melacurkan diri serta emosi dan kegilaan anak-anak muda Korea terhadap pembedahan plastik. Ini jelas di dalam lewat filemnya, Samaritan Girl (2004) dan Time (2006).

Filem-filem yang membawa tema pelacuran dan seks seperti Wild Animals (1997), Birdcage Inn (1998), The Isle (2000) dan Bad Guy (2002).

Tema kerohanian seperti filem Spring, Summer, Fall, Winter… and Spring mengisahkan bagaimana seorang sami ‘kanak-kanak’ (Jae Kyeong Seo) jagaan sami ‘tua’ (Yeong Su Oh) membesar dalam hutan tanpa sebarang interaksi dengan dunia luar. Masa berubah. Sami itu membesar.

Suatu hari seorang perempuan datang menghantar anak perempuannya untuk didik dengan ajaran buddha, sami ‘remaja’ (Kim Young-min) telah menodai dan jatuh cinta.

Mengetahui perempuan itu dinodai, sami tua menghantarnya pulang. Merajuk, lalu sami dewasa bertindak meninggalkan sami tua itu untuk mencari perempuan yang dicintainya. Akhirnya masa menentukan – dia menjadi pembunuh.

Tema pembunuhan dan cubaan membunuh atau mencederakan diri seperti Breath (2007), menikam perut dengan ikan (Wild Animals), terjun daripada bangunan (Samaritan Girl), memasuk mata kail ke dalam mulut (The Isle), antara adegan sadis yang meruntun jiwa penonton agar bersama-sama bersimpati dengan watak tersebut.

Senjata tajam

Seperti yang diterangkan, Kim Ki Duk memapar kisah dan tragedi yang berlaku dalam hidup manusia. Ia tidak terlepas daripada perasaan membalas dendam protagonis dengan mengunakan alat-alat tertentu yang boleh membunuh atau melukakan secara fizikal.

Ia berlaku apabila alat-alat seperti pisau, jarum, pahat, berus gigi, mata kail, anak panah, kayu golf yang ditunjukkan pada permulaan filem-filemnya digunakan untuk membunuh. Kita tidak menjangkakan senjata tersebut digunakan untuk membunuh atau mencederakan diri.

Sebagai contoh, filem Dream (2008), pahat, jarum dan tukul digunakan untuk mencederakan diri bagi mengelakkan daripada tidur. Filem ini mengisahkan Jin (Joe Odagiri) bermimpi Ran (Lee Na-Young) terlibat dalam satu kemalangan.

Apabila sedar dari mimpi, Jin mendapati mimpinya adalah benar sedangkan Ran tidak menyedarinya ia berlaku ke atasnya kerana dia adalah seorang sleepwalker.

Rupa-rupanya mimpi mereka mempunyai kaitan. Sekiranya Jin tidur, Ran akan bangun dan akan bersetubuh dengan bekas kekasihnya (Kim Tae-hyeon) yang dibencinya. Dan sekiranya Ran tidur, Jin akan mencari bekas kekasih (Park Ji-a) yang dicintainya walaupun kekasihnya membencinya.

Untuk mengelakkan daripada perkara itu berulang, mereka mengambil keputusan untuk berjaga dan bersengkang mata sepanjang malam lalu mereka mengambil alat-alat tersebut, menikam-nikam tubuh badan untuk mengelakkan daripada tidur.

Kebisuan atau senyap

Satu lagi yang menjadi kecenderungan Kim Ki Duk dalam filem-filemnya adalah kebisuan atau senyap. Ini jelas dalam lewat filemnya, The Isle, Bad Guy, 3-Iron, Time, dan Breath. Kebisuan yang saya maksudkan ialah filem tersebut keseluruhannya senyap atau bisu seolah-olah tidak wujud skrip.

Filem 3-Iron, 90 peratus jalan cerita adalah kebisuan atau kesenyapan. Kekuatan filem ini adalah lakonan pada pelakon yang berinteraksi dengan subteks – memek muka dan gerak.

Kebisuan atau kesenyapan juga boleh dimaknai dengan kebisuan nyata disebabkan kecederaan atau semulajadi. Ia juga ditafsirkan sebagai satu bentuk protes. Ia membolehkan kita mentafsir apa yang difikirkan oleh pelakon tersebut, dan menunggu tindakannya seterusnya.

Hampir keseluruhan 15 filemnya, salah seorang pelakonya mesti membawa watak ini. Di sini, pada pandangan saya, Kim hanya mengulang tema kebisuan atau kesenyapan ini walaupun berbeza dari segi jalan ceritanya atau ia sebagai satu peraturan atau syarat asas dalam filemnya. Filem-filem yang menggunakan tema ini ialah The Isle, Bad Guy, The Bow, Time dan Breath.

Semua filem-filem Kim Ki Duk tidak pernah menghampakan. Menonton dengan penuh minat dan sepenuh perhatian, sudah pasti kita menyedari bahawa beliau adalah seorang pembikin filem yang hebat. Idea, stail, kreativiti dan kesinambungan dalam scene-scene cukup menarik untuk ditonton.

Rujukan:

1) Koleksi filem-filem Kim Ki Duk

2) Linda J. Cowgill, (2008), The Art of Plotting, Back Stage Book, New York.

3) Maria Pramaggiore dan Tom Walies, (2008), Film: A Critical Introduction, Laurence King Publishing, London, edisi kedua.

4) Steven D. Katz, (1991), Film Directing Shot by Shot, Michael Wiese Productions, Amerika Syarikat.

A.Sabri, 28, penulis dan penggemar filem. Menulis karya-karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas dan rebiu filem.

A. Sabri Filem Kim Ki-Duk Korea Selatan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan