A. Sabri

Gus Van Sant datang lagi, kali ini dengan filem bercorak biografi drama seorang aktivis dan ahli politik gay di San Francisco, Amerika Syarikat, Harvey Milk (Sean Penn). Van Sant yang cukup selesa dengan filem seni dan eksperimental selepas Elephant, Last Day dan Paranoid Park, beliau tidak mengecewakan peminat-peminat filemnya dengan kisah pembunuhan aktivis itu.

Van Sant menerima anugerah Palme d'Or (Lionel Cironneau/AP)
Van Sant saat menerima anugerah Palme d'Or (Lionel Cironneau/AP)

Naratif filem ini bermula dengan flashback Milk sedang merekodkan percakapannya setelah merasai diri dan nyawanya dalam bahaya. Van Sant juga menggunakan klip-klip filem dokumentari, The Times of Harvey Milk (1984) oleh Rip Epstein. Sedutan-sedutan klip filem tersebut diselitkan sebagai justifikasi terhadap latar idea, pergerakan dan tindakan politik Milk.

Rakaman percakapan beliau di rumahnya pada 18 November 1978 itu, mengimbau perkenalan dengan teman lelakinya, Scott Smith (James Franco) ketika berselisih di terowong pejalan kaki keretapi bawah tanah pada tahun 1970 di New York.

Milk juga menjelaskan kisah perjuangan beliau bersama rakan-rakannya sewaktu terlibat dalam kempen untuk jawatan penyelia di bandar San Francisco pada awal tahun 1972. Tahun itu juga mereka berpindah ke sana.

Pada tahun 70-an kemunculan budaya baru di sana, amnya di Amerika Syarikat dengan kehadiran pasangan gay, lesbian, dan seks bebas serta kes-kes pembunuhan dan penagihan dadah, termasuk di kawasan Castro Street – satu jalan di mana terletaknya premis perniagaan – Castro Camera – milik Milk.

Reaksi awal pembabitan mereka dalam masyarakat mendapat layanan buruk daripada masyarakat dan polis. Dalam scene rakaman perbualan itu, Milk menjelaskan hampir setiap minggu ada sahaja pergaduhan dan pembantaian pasangan gay oleh polis.

Namun lama-kelamaan studio gambar Milk menjadi destinasi dan tumpuan utama oleh pasangan-pasangan gay yang bersiar-siar, pelanggan-pelanggan baru dan anak-anak jalanan yang tiada rumah.

Selepas penglibatan awal Milk dan rakan-rakan dalam politik, iaitu memboikot minuman keras ‘Coors’ dijual di bar-bar yang rata-ratanya pelanggannya terdiri daripada pasangan gay lantas menuntut Milk mengumumkan percubaan pertama dalam politik – bertanding bagi pemilihan penyelia di San Francisco pada tahun 1972.

Ketika itu, beliau berimej ‘bohemian’seperti kebanyakan orang muda generasi hippie – berambut panjang, bertocang, berjambang serta memakai jean ketat. Bagaimanapun beliau kalah dalam pemilihan pada tahun tersebut.

Percubaan kedua pada tahun 1975, Milk mengubah imejnya seperti ahli politik – memakai sut, bertali leher dan kot, berambut pendek dan kemas, serta mencukur jambangnya. Percubaan pada tahun 1976, juga menemui kegagalan.

Kekalahan Milk pada tahun tersebut – selepas tiga kali percubaan –mematangkan Milk dalam politik. Tambahan pula sokongan pasangan gay dan penduduk kepadanya bertambah hebat berikutan kenyataan Anita Bryant, seorang ahli persatuan gereja konservatif, yang menyatakan seorang homoseksual adalah individu yang sakit dan peruntuh kepada institusi kekeluargaan.

Hal demikian memberi semangat kepada Milk untuk bertanding dengan meluaskan kempen dan tema yang diperjuangkan antaranya kepada ahli perniagaan, pekerja kilang, kesatuan sekerja dan orang kulit hitam serta memberi mereka harapan politik untuk membantu mereka.

Amerika Syarikat yang mengamalkan sistem demokrasi – berbeza dengan Malaysia – membenarkan mereka mengadakan berdemontrasi sepanjang jalan tanpa kekecohan dengan laungan “We care about you, fight back” – di sekitar bandar San Francisco.

Van Sant berjaya menghidupkan suasana kehangatan demontrasi tersebut. Dengan kain rentang dan slogan-slogan yang menaikkan semangat para aktivis, pasangan-pasangan gay dan penduduk di situ.

Milk berkempen
Milk dalam salah satu kempennya (Laura Morton)

Percubaan pada tahun 1977 – setahun sebelum kematian – berjaya walaupun terdapat kejadian suka dan duka yang menjadi halangan dan sebagai titik tolak kepada kebangkitan Milk dan jentera kempennya.

Sewaktu berkempen pada tahun tersebut, menyaksikan perpisahan Milk dengan Scott. Ini kerana Scott bosan dengan kegiatan politik Milk dan berasa diri semakin diabaikan. Milk kecewa.

Kekecewaan beliau tidak tidak lama, apabila Anne Kronenberg (Allison Pill) – seorang lesbian – dilantik menjadi pengurus kempen Milk. Tugas pertama beliau, membuat kenyataan akhbar berhubung kesediaan Harvey bertanding sekali lagi.

Setelah satu jam menceritakan jatuh bangun karier politik dan masa hadapan Harvey, Gus Van Sant memperlihatkan ketabahan dan semangat Milk apabila Anita Bryant – sekali lagi – berkempen memburukkan golongan gay.

Anita melobi untuk memecat guru-guru yang homoseksual di sekolah seluruh San Francisco. Dan ia merupakan satu tamparan hebat kepada Milk dan rakan-rakan yang turut mengatur strategi berkempen dengan mengadakan perarakan aman mengisytihar tentangan terhadap cadangan Anita itu.

Laungan “civil right, civil war, gay right now” antara laungan keramat yang memecah kesunyian pada suatu malam di San Francisco. Ia di ketuai oleh Cleve Jones (Emile Hirsch) – penggerak utama kempen Milk – anak muda yang ambitious dan strategis sebagai counter attack kepada kempen anti-homoseksual Anita.

San Francisco antara bandar di California yang mempunyai undang-undang menuntut dan menjaga hak asasi setiap individu dan anti-diskriminasi pasangan gay dalam masyarakatnya. Milk antara pelopor utama, setelah mendapat sokongan daripada 11 penyelianya. Bagaimanapun ada seorang menentang iaitu Daniel.

Turut menentang kumpulan-kumpulan homoseksual ini adalah Senator John Briggs (Denis O’Hare) yang turut menyokong Anita Bryant dengan membuat referendum – Proposition 6 – membantah keberadaan homoseksual di sekolah dan di tempat kerja di seluruh Carlifornia.

Maka berdebatlah antara Milk dan Briggs dengan hujah-hujah mereka bagi menarik sokongan daripada ibu bapa di daerah-daerah utama di negeri itu. Bagaimanapun, Harvey mendapat 65 peratus sokongan dalam pungutan suara itu.

Beliau telah diisytiharkan dan dilantik sebagai pemenang sebagai penyelia di San Francisco dan dilantik menganggotai Barisan Penyelia-penyelia negeri itu, pada Januari 1978. Majlis perisytiharan dan majlis tandatangan perlantikan itu disaksikan oleh Datuk Bandarnya, George Moscone (Victor Garber).

Kemenangan yang berpihak kepada Milk turut mengecewakan White. Lebih-lebih lagi, Milk mendapat sokongan daripada datuk bandar, menyebabkan White merasakan dirinya tersisih menggugat pengaruh dan kerjayanya. Lalu dia meletakkan jawatan.

Babak akhir dalam filem berdurasi lebih dua jam ini, iaitu Harvey menonton pementasan Teater ‘Tosca’ – di panggung berhadapan pejabatnya – selepas itu merasakan kematian terlalu hampir dengan dirinya. Lalu Milk menelefon ‘bekas teman lelakinya’ Scott untuk meluahkan perasaan ketakutan yang menyelubungi dirinya.

Suatu pagi,White datang ke pejabat Moscone untuk menarik kembali surat perletakkan jawatannya dan merayu datuk bandar itu untuk menerima beliau kembali. Malangnya, rayuannya gagal, lalu White menembak Moscone.

Kemudian, dia bergegas ke bilik Milk untuk kononnya ingin berbicara sesuatu dengannya. Belum sempat Milk berkata apa-apa dia ditembak di tapak tangan. Dua das tembakan di kanan dan kiri dadanya dan satu das di belakangnya. Ketika itulah, Milk mengadap tingkap memerhati poster besar teater ‘Tosca’ dan memang benar intuisinya bahawa kematian, akhirnya menjemput beliau sebelum melepasi umur 50 tahun.

Maka, begitulah pengakhiran Milk, seorang homoseksual, ahli politik dan aktivis di San Francisco. Yang tinggal perjuangannya yang memberi kesan mendalam kepada penduduk Amerika khususnya pasangan homoseksual. Puluhan ribu berarak dengan nyalaan lilin menangisi kematian Milk yang pergi buat selama-lamanya pada 27 November 1978.

A. Sabri, 28, peminat bebas filem dan filem bebas.

A. Sabri Filem/TV Milk Van Sant

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan