Terjemahan Pauline Fan

Surat Kedua

Viareggio, berhampiran Pisa (Itali),

5hb April 1903

Maafkan saya, Tuan yang baik dan terhormat, kerana baru hari ini dapat membalas warkahmu yang bertarikh 24hb Februari: sejak masa itu saya menderita, bukan sakit sebenarnya, tetapi terserang oleh suatu kelemahan bersifat influenza yang menyebabkan saya tidak berupaya melakukan apa-apa pun. Dan akhirnya, kerana keadaan langsung tidak berubah, saya datang ke lautan selatan ini yang pernah menyegarkan saya dengan suasananya yang selesa. Tetapi saya belum sihat, menulis masih susah bagi saya, jadi anda harus terima baris-baris ini sebagai suatu yang lebih.

Anda pasti sedar bahawa anda mengembirakan saya dengan setiap pucuk surat dan anda pasti termenung menantikan balasan yang barangkali tidak menyampaikan apa-apa kepadamu; kerana pada dasar, dan dalam hal-hal yang paling mendalam dan penting, kita bersendirian, seolah tanpa nama, dan sebelum seseorang dapat menasihati ataupun membantu orang lain, banyak perkara mesti berlaku, banyak mesti berlangsung, suatu gugusan perkara mesti tercapai supaya ia layak menasihati seseorang.

Saya ingin mengatakan dua perkara lagi kepadamu hari ini:

Ironi: Jangan biarkan dirimu dikawal olehnya, terutamanya semasa kamu tidak berkarya. Semasa berkarya, cuba menggunakannya sebagai satu lagi kaedah demi menggenggam kehidupan. Kalau digunakan secara murni, ia juga murni, dan seseorang tidak harus malu kerananya; dan kalau kamu percaya kepadanya, kalau kamu berasa takut terhadap kemesraan yang tumbuh dengannya, beralihlah kepada benda yang lebih besar dan berat yang akan menjadikannya kecil dan tidak berdaya. Carilah kedalaman sesuatu benda itu: di sana ironi tidak pernah muncul, – dan apabila anda sampai pada pinggir kehebatannya, cuba pastikan sama ada cara menanggapi dunia ini berasal dari keperluan keberadaanmu. Kerana dengan pengaruh perkara-perkara berat, ia mungkin sama ada akan terlepas darimu (kalau ia merupakan sesuatu yang kebetulan), atau ia akan mengukuhkan diri (kalau ia benar-benar wujud dalam dirimu) dan menjadi suatu alat yang serius dan salah satu kaedah yang kamu mesti gunakan untuk membentuk senimu.

Rainer Maria Rilke pada tahun 1902
Rainer Maria Rilke pada tahun 1902

Perkara kedua yang ingin saya terangkan kepadamu hari ini adalah ini:

Antara banyak buku saya beberapa sahaja tidak dapat dilepaskan, dan dua daripadanya sentiasa bersama antara barang-barangku, di mana pun saya berada. Ia berada di sisiku sekarang: Kitab Injil dan buku-buku penyair Denmark yang agung, Jens Peter Jacobsen. Saya terfikir, sama ada anda kenal karyanya. Anda boleh memperolehinya dengan mudah kerana sebahagian daripadanya telah diterbitkan oleh Universal-Bibliothek Reclam dalam terjemahan yang sangat baik. Dapatkanlah naskah Enam Novella oleh J.P. Jacobsen serta novelnya Niels Lyhne dan mulakan bacaanmu dengan novella pertama dalam naskah pertama itu, judulnya ‘Mogens’. Sebuah dunia akan menjelma di depanmu, kemujuran, kekayaan, keluasan yang tidak terhingga sesebuah dunia. Hiduplah sementara dalam buku-buku ini, belajar darinya apa yang anda kira sebagai bernilai, tetapi yang penting sekali sayangilah ia. Kasih ini akan dibalas kepadamu beribu-ribu kali dan biar bagaimanapun kehidupan kamu berubah, – ia akan, saya pasti, ikut melalui tenunan perubahanmu itu sebagai salah satu benang terpenting antara semua gelendong benang pengalamanmu, kekecewaanmu, dan kebahagiaanmu.

Kalau saya terpaksa mengatakannya, oleh siapa yang telah mengajar saya tentang intisari pengkaryaan, tentang kedalaman dan keabadiannya, saya hanya boleh menyebut dua nama: Jacobsen, penyair yang amat agung itu, dan Auguste Rodin, pengarca yang tiada taranya di kalangan semua seniman yang hidup hari ini.

Semoga anda berjaya dalam setiap usahamu!

Yang ikhlas,

Rainer Maria Rilke

 

 

Surat Ketiga

Viareggio, berhampiran Pisa (Itali)

23hb April 1903

Tuan yang baik dan terhormat, anda telah menggembirakan saya dengan warkah Paskamu; ia menyampaikan banyak perkara yang baik mengenaimu, dan cara anda membincang seni Jacobsen yang agung dan disanjung menunjukkan bahawa saya tidak silap mengarahkan kehidupanmu dan soalan-soalannya kepada  sumber yang kaya ini.

Sekarang anda akan membuka Niels Lyhne, sebuah buku yang semakin kerap dibaca semakin bertambah mulia dan dalam: ia seolah-seolah mengandungi segala haruman terhalus kehidupan dan kelazatan dari buah-buahnya. Tiada yang tidak akan difahami, digenggam, dialami dan dikenali dalam gema ingatan yang bergetar; tiada pengalaman yang tidak penting, kejadian terkecil terungkai bagaikan takdir, dan takdir itu adalah seperti tenunan yang cantik dan luas, di mana setiap benang dijahit oleh sepasang tangan yang lembut tak terhingga, dan diletakkan di sebelah selembar yang lain dan dipegang dan dibawa oleh beratus-ratus yang lain. Anda akan mengalami kebahagiaan yang besar ketika membaca buku ini buat kali pertama, dan akan melalui perkara-perkara tidak tersangka yang banyak sekali seperti dalam sebuah mimpi yang baru. Tetapi boleh saya katakan padamu bahawa kamu juga akan terpesona melalui buku ini, dan ia tidak hilang sedikit pun kuasanya yang istimewa dan sifat dongengnya, yang melanda pembaca pada kali pertama.

Anda akan semakin menikmatinya, semakin berterima kasih padanya, dan penghayatan seseorang seolah bertambah jernih, kurang rumit, kepercayaan terhadap kehidupan lebih dalam, dan lebih berjiwa dan mulia dalam cara hidupnya itu.

Dan kemudian anda harus membaca bukunya yang menarik tentang nasib dan keinginan Marie Grubbe serta warkah, catatan seharian dan serpihan karya Jacobsen, dan seterusnya puisinya yang (biarpun dalam terjemahan yang agak tawar) hidup dalam gema yang tidak berjeda. (Justeru itu ingin saya menasihatimu supaya membeli naskah kumpulan karya Jacobsen yang indah itu, yang mengandungi semua karya ini. Ia telah diterbitkan oleh Eugen Diederichs di Leipzig dalam tiga jilid dan terjemahan baik dan harganya, kalau tak salah, hanya 5 atau 6 Mark sejilid.)

Pandangan anda terhadap ‘Patutlah mawar tumbuh di sini . . .’ (karya yang tidak tertanding kehalusan dan bentuknya), yang sudah pasti bertentangan dengan orang yang menulis pendahuluan buku ini, memang betul dan tepat sekali. Dan sekarang harus saya pesan: baca bahan bersifat kritikan sastera sekurang yang mungkin, – ia merupakan pendapat berat sebelah, kaku dan tanpa makna dalam kekerasannya yang tidak bernyawa, atau hanya sekadar kepintaran bermain kata-kata, di mana satu pendapat menang hari ini manakala esok pendapat yang bertentangan pula pemenangnya. Karya seni berasal dari kesunyian yang abadi, dan yang paling tidak dapat menyentuhnya adalah kritikan. Hanya cinta sahaja yang dapat menyelami dan mendakapnya dan dapat berlaku adil padanya. – Sentiasa percaya pada dirimu dan pertimbanganmu, bukannya pendapat, ulasan, atau pendahuluan seperti itu; sekiranya anda tersilap, pertumbuhan alami kehidupan batinmu akan perlahan-lahan membawamu melalui waktu kepada bentuk kesedaran yang lain. Benarkan penilaian kamu untuk berkembang dengan diam dan tidak terganggu. Seperti setiap langkah ke depan, haruslah muncul dari dalam dan tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan. Semua dibawa dalam kandungan, kemudian dilahirkan. Biar setiap tanggapan dan benih perasaan terkandung dalam diri, dalam kelam, dalam yang tidak dapat diperkatakan, yang tidak sedar, yang tidak dapat disentuh oleh pemahaman sendiri dan dengan sikap rendah diri dan sabar hati menantikan ketibaan saat kejelasan yang baru: ini sahaja maknanya kehidupan seni: dari segi pemahaman dan juga pengkaryaan.

Di sana tidak ada ukuran waktu, setahun tidak dianggap lama, dan sepuluh tahun bukan apa-apa. Menjadi seniman bermakna: tidak mengira dan menghitung; bertambah ranum bagaikan pohon yang tidak memaksa madunya dan berdiri yakin dalam ribut musim semi, tanpa berasa takut bahawa barangkali musim panas tidak tiba. Ia memang tiba. Tetapi ia tiba hanya buat yang sabar, yang berada di sana seolah-olah keabadian membentang luas di depan, diam dan jauh tanpa keraguan. Ini saya belajar setiap hari, belajar pada saat penderitaan, dan saya bersyukur kerananya: Kesabaran adalah segalanya!

Richard Dehmel: tentang bukunya (dan di samping itu orangnya juga, yang saya kenal sedikit) saya berasa begini – apabila saya menemui satu halamannya yang indah, saya takut membaca halaman berikut yang mungkin memusnahkan segalanya dan menukar apa yang layak disayangi kepada sesuatu yang tidak bernilai. Tepat sekali anda menggambarkan beliau dengan kata: ‘berahi hidup dan berpuisi’. – Dan pastinya pengalaman seniman itu begitu mirip dengan pengalaman seksual, dengan kesakitan dan kenikmatannya, sehingga penjelmaan kedua-duanya sebenarnya hanya bentuk yang berlainan dengan keinginan dan kegirangan yang sama. Dan jikalau kita ganti kata berahi dengan seks, dalam maknanya yang besar, luas, murni, tanpa dosa seperti yang dituduh gereja, seninya menjadi agung dan penting tak terhingga. Kehebatan puisinya besar dan kuat seperti daya naluriah, ia mengandungi rentak liar yang tercetus keluar darinya seperti dari gunung berapi.

Namun, kehebatan bukanlah sentiasa kelihatan jelas dan tanpa lagak. (Tetapi itu adalah salah satu ujian yang paling susah terhadap pengkarya: dia hendaklah sentiasa tidak sedar, tidak perasan akan nilainya yang terbaik, kalau dia tidak mahu merampas kesegaran dan kemurniannya!) Kemudian, apabila ia bergelora melalui sanubarinya dan tiba di ruang seksual, ia mendapati bahawa orangnya tidak semurni seperti yang diperlukan. Ia tidak menemui dunia seksualnya yang matang dan murni, sebalinya dunia yang tidak cukup manusiawi, sebaliknya bersifat lelaki, keberahian, kebisingan dan kegelisahan, penuh dengan prasangka dan keangkuhan lama yang sering menyebabkan kaum lelaki membinasakan dan membebani cinta. Kerana dia cinta hanya sebagai lelaki, bukan sebagai manusia, dalam perasaan seksualnya terdapat sesuatu yang sempit, yang rupanya buas, zalim, terkandung zaman, tidak abadi, yang melemahkan seninya dan menyebabkannya bersifat kabur dan meragukan. Ia bukan tanpa titik kecemaran, ia ditandai zaman dan nafsu, dan tidak banyak daripadanya akan tahan dan berlanjutan. (Kebanyakan seni sedemikian juga!) Namun, seseorang boleh menikmati apa yang bermakna dalam pengkaryaannya tanpa lupa dalaman dirinya atau menjadi pengikut dunia Dehmel itu, yang bersifat pengecut, penuh dengan kecurangan dan kekeliruan, jauh sekali dari takdir yang benar, yang menyebabkan lebih penderitaan daripada kekecewaan yang terkandung waktu ini, tetapi juga memberi lebih peluang mencapai keagungan dan lebih ketabahan hati demi keabadian.

Akhirnya, berkenaan dengan buku saya, kalaulah saya dapat menghantar kepadamu mana-mana naskah yang akan menghiburkan hatimu. Tetapi saya sangat miskin dan buku-buku saya bukan kepunyaan saya lagi sebaik diterbitkan. Saya sendiri tidak mampu membelinya – dan, jika ikut hati saya, untuk memberinya kepada mereka yang akan menjaga dan menyayanginya.

Oleh itu, saya mencatat bagimu di atas sehelai kertas nota judul-judul (serta penerbit) buku-buku saya yang baru diterbitkan (yang terkini, terdapat 12 atau 13 yang sudah diterbitkan) dan anda, Tuan yang baik, boleh memesan beberapa darinya sendiri bila kelapangan masa.

Saya berasa senang hati bahawa buku-buku saya berada dengan anda.

Salam sejahtera!

Yang ikhlas,

Rainer Maria Rilke

———————————————-

Pauline Fan ialah seorang penterjemah. Antara karya terjemahannya dari Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu termasuk Liebesgedichte oleh Bertolt Brecht (Dendang Cinta, Kala Translation Series, 2006) dan Was ist Aufklärung? oleh Immanuel Kant (Apa itu Pencerahan?, Institut Kajian Dasar, 2006). Dia telah juga memperalihkan hasil tulisan seniman Malaysia, Ismail Zain ke dalam Bahasa Inggeris untuk Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (Balai Seni Lukis Negara, 2007). Sejak 2002, dia berkhidmat dengan pertubuhan warisan budaya PUSAKA.

———————————————-

Artikel yang berkaitan:

Siri Pertama: Surat-surat untuk Seorang Penyair Muda

Nota Editor: Buku J.P. Jacobsen yang disebut oleh Rilke boleh didapati secara digital di http://gutenberg.net.au/plusfifty-a-m.html#letterJ

Pauline Fan Penyair Surat Rainer Maria Rilke Terjemahan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan