Emmet (Khir**/Flickr)
Emmet (Khir**/Flickr)

Kembali – perkataan yang membawahi dimensi maksud yang getir. Seperti ada yang belum langsai dan menuntut kehadiran semula. Dan Butterfingers, dengan semangat yang sama barangkali, menyatakan maksud yang cukup jelas dengan album ini – muzik mereka masih ada daerah yang mahu dijelajah.

Perkara paling bermakna bagi sesebuah entiti muzik – dan juga penggemar muzik – adalah proses kematangan hasil kerja. Melalui jalan ini, muzik itu terasa  berfungsi melangkaui apa yang sepatutnya terjangka – dan berakhir kepada satu bentuk baru yang memberi kepuasan yang lain.

Album baru Butterfingers ini juga tidak salah kalau dikatakan mempunyai kekuatan tersebut.  ‘Selamat Tinggal Dunia’ muncul sebagai takat sukat sebuah band yang dalam peralihan, daripada setting nilai awal mereka yang bertolak dari pengaruh muzik asal kepada satu jarak yang masih dicuba-cuba dalam lingkar susur galur bunyi-bunyian tempatan-nusantara.

Dengan Kembali, mereka berjalan jauh lagi ke ruang ‘mengenal diri’. Dengarkan ‘lick-lick’ daripada Loque dan kita akan faham maksud di sini. Lagu-lagu juga jadinya lebih konkrit walaupun mungkin masih kuat gaya-gaya lama penulisan muzik mereka.

Sewaktu berbual dengan beberapa orang teman – dan menonton temuramah pendek Loque di tv – ada satu perkataan yang agak kerap menonjol iaitu nasionalisme. Dan band ini sepatutnya mengambil sikap yang lebih kukuh untuk menerangkan maksud mereka dengan kata nasionalisme ini. Pendengar mahu tahu apa sebenarnya yang bermain di dalam fikiran Butterfingers dengan tema tersebut. Atau adakah ia akan berakhir dengan penggunaan bahasa Malaysia dan bukan Inggeris di dalam album? Ini perlu dijelaskan oleh Butterfingers.

Dari aspek muzik, pendengar yang sentiasa mengharapkan perubahan tidak akan kecewa. Band ini sentiasa mempamerkan kecenderungan untuk terus progresif dengan idea-idea muzik mereka. Dalam sejarah muzik moden, kita pernah melihat band-band luar yang ‘menganut’ fahaman ini – sentiasa mahu dekat dengan pembaharuan dan pengembangan muzik mereka. Radiohead mungkin contoh paling jelas. (Perbandingan di sini bukanlah di antara muzik kedua-dua band ini, tetapi bersandarkan pembangunan hasilan kerja muzik mereka keseluruhannya.)  Dan itu adalah simbol keghairahan sesebuah band yang sentiasa dahaga dengan muzik mereka dan mahu untuk terus menganjak sempadan stereotaip  mereka sendiri. Itu adalah pencapaian yang baik.

Bagaimanapun, ada satu perkara lagi yang sedikit kurang pada album ini; cara sebuatan Emmet yang tidak konsisten bagi perkataan yang akhirannya dengan huruf ‘a’. Contoh: masa vs mase. Emmet mungkin perlu berfikir untuk mengetengahkan sebutan yang paling selesa untuk dirinya – tidak kesah yang mana satu asalkan ia konsisten sepanjang album.

Buat masa sekarang, mendengar Kembali adalah rawatan… kerena masih belum ada album artis tempatan yang mampu menawarkan perkara yang sama seperti yang Butterfingers tawarkan (untuk sebuah album kugiran). Untuk itu, RM29.90 yang anda keluarkan, paling tidak akan menyenangkan halwa telinga sendiri dan terus berlayar dalam latar muzik yang kembali ke daerah sini dan jauh meninggalkan Seattle.

—————————————————

 

Hafiz Hamzah
Hafiz Hamzah

 

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.