Syaitan Kuning
Berbondong-bondong
syaitan kuning
menerobos ke dalam
kota gelap itu

lagaknya adalah igau ngeri
mereka yang di tampuk kerusi empuk
yang asyik berlenang-senang
menabur nista dusta

Syaitan kuning
kerumunan
terbentuk daya listrik baru
mungkin sampai jadi gergasi
menyanggah duduk kuasa
sang sialan
yang akan terusan berdusta
sampai mati
jika takdir memilih untuk
tidak berlaku adil

Gelombang letus semangat
akan mengajar dunia

bahawa ada jiwa yang terkepung erap
dari rantau ini

dan
pada mereka yang percaya,
ku ucapkan; Terima Kaseh!

12 November 2007 – 11.30pm – Bangsar Utama.


Pergi Gemerlap

(sajak buat kepergian Loloq)

Di Januari kali ini
bintang-bintang tak galak
untuk terus menyinar

Malam-malam sunyi
benar semakin hening dihambat
sayap-sayap gelap penjaga pintu alam lain
yang datang membawa pesan
Maha Agung
– maka memanggil pulang –

anak-anak manusia yang dipinjamkan
kepada dunia

Juga dia
genius perang kata yang dipinjamkan
bagi kaum yang mala tandus
idea-idea besar seni lagu

Tadi
kembali
menyahut panggilan terakhir

dan kamu
jangan hadap untuk berperanan jadi penentu
baik-buruk-syurga-neraka
kerana kamu hanya manusia papa
yang belum tentu nasib di dunia

Bintang yang satu ini luput cahaya
dan belum tentu akan ada yang mampu berpanah ke bintang lain
yang sama jauh sepertinya.

Bintang-bintang
akan gugur lagi
di bulan-bulan indah yang lain

apa yang tinggal untuk kita? – cipta yang baru dengan semangat cahaya yang silaunya mencapah sudut-sudut tersisa.

– 31 Januari 2008, Bangsar.


Seorang Tua di Buaian Karat

Susuk tua yang bongkok
Jelas nyata seorang perempuan
Berkacamata besar
Matanya galak tersua pada kanta yang memantul cahaya

Dibiarnya tubuh itu terhayun perlahan
Menjongket pasir dan tanah kering
Dengan kekuatan kaki yang tak seberapa
Buai perlahan si buaian karat
Buaikan dia
Di senja yang hiba
Jangan kau berhenti
Padanya itu adalah satu nikmat
Meluncur disentuh angin pipinya yang berkedut
Dimamah usia
Sesiapa saja
Semua kita sebenarnya

Aku tersenyum
Mengintai dari balik tingkap
Lapang melihat perempuan tua itu
Asyik

Aku menyapa
Dibalas senyum ku
Dengan kuntum yang jarang
ku temui pada manusia lain
Kerna darinya adalah senyum yang penuh makna
Dalam tersirat lagi tersembunyi hasrat
Memandang ku
Seolah ada rahsia
Ada harapan yang dilihatnya
Yang cuba disampai
Yang cuba diluah

Wajah itu

terlalu menyimpan banyak cerita suka duka

yang takkan mampu dicerita kesemua
Biarlah tersemadi bersama sanubarimu wahai perempuan tua
Biarkan yang lain yang takkan faham
Kerna aku akan sentiasa dapat merasa
Kerna dalam tubuh ini mengalir darahmu
Kerna kau Siti Hajar – Nendaku yang jarang-jarang bersua.

11.48pm, 6 Februari 2007- Compaq nx6320 – Pantai Dalam.

Sarong
–Ni–

Aku terasa benar-benar

beriman kepada Sang Pencipta itu
kala melihat kau

dalam kebaya
bertumit tinggi
berkain sarong
dan memang sungguh kau.

1.16 am
15/07/07

Nilai, Negeri Sembilan

© Hafiz Hamzah

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan