APABILA bangun tidur, esok pagi-pagi; aku mahu jadi lelaki.

Tiap-tiap hari, aku ada impian itu, menjadi lelaki.

Sebabnya—kerana aku dilahirkan lelaki. Tapi, untuk jadi lelaki, tak cukup dilahirkan sebagai lelaki… begitu tidak kepada perempuan, sekali dilahirkan perempuan, seakan-akan tidak ada pra syarat lain untuk jadi perempuan. Paling lebih pun, hanya perlu pandai memasak, sebelum berlaki.

Anak lelaki seperti aku, tidak. Dalam faham rata-rata orang Melayu kampung, lelaki perlu mampu cari rezeki. “Budak jantan kena cari duit,” kata yang selalu aku dengar di masjid selepas Maghrib. Kalau belum kahwin, harus bekerja untuk bantu emak-abah. Kalau anak sulung—seperti aku—adik-adik, berapa ramai pun, adalah bahagian daripada tanggungjawabnya.

Kurang-kurangnya, itu yang emak selalu beritahu. “Esok bila emak sudah tak ada, kaulah kena bela dan besarkan adik-adik,” cakap emak.

Makanya, aku… mahu jadi lelaki. Seperti yang emak bayang-bayangkan.

***

ATUK ada lima batang pokok rambutan. Dia tanam di belakang, sebelah rumah kami. Kira-kira lima-enam ratus meter daripada rumah tangga rumah kami. Rambutan berbuah selepas musim durian. Sama dengan rambutan, sama berbuah ialah manggis. Musim buah setahun sekali.

Selain ada lima batang pokok rambutan, atuk ada kedai runcit. Bahagian hadapan rumah aku adalah kedai runcit.

Bukan apa… aku terlalu kecil untuk berjual barang di kedai runcitnya. Lagi pun, aku tidak dapat menghafal harga pada barang-barang yang begitu banyak sekali di dalam kedai. Dari minyak masak sampai jenis rokok, dari gula ke beras dan sabun, kicap dan garam, selipar jepun dan gosok periuk…

Atuk merahsiakan modalnya; bukan sahaja kepada orang-orang kampung, tetapi juga kepada aku. Semua resit-resit pembelian barang dia simpan dalam satu laci berkunci: laci berselebah dengan laci letak duit setiap kali ada jual-beli. Dengan tidak tahu paras modal; tidak dapatlah aku menetapkan harga jual.

Kalau atuk tengah makan di dapur—selalunya makan tengah hari selepas sembahyang Zohor—aku membantu sekejap jaga kedainya. Bergilir dengan seorang sepupu perempuan. Apabila ada orang masuk, mahu membeli barang, akan aku tanya atau ambil barang itu, berlari ke dapur, menunjukan barang kepada atuk yang sedang makan. Dia belek-belek. Dia tetapkan harga. Beritahu aku, berapa harus jual, dan, aku berlari semula ke kedai di mana orang itu terpacak menunggu. Jualannya, kadang-kadang asam dalam 50 sen, atau kicap dan garam.

Soal balik-balik duit, aku mahir. Cikgu sudah ajar di sekolah. Aku suka ilmu kira-kira kerana dengan matematik, boleh senang berniaga. “Orang tak boleh tipu kau berniaga,” seperti kata abah.

Walaupun minat aku terhadap matematik cukup dalam, dan sudah aku hafal sifir sampai sifir dua belas, berniaga kedai runcit masih rumit betul. Yang ada, cuma kedai runcit, yang tiap-tiap kali bangun tidur, aku akan mengadap kedai itu. Upaya aku tak sampai untuk menjalan operasi kedai, dan atuk pun, dan abah pun… masih tak percaya aku boleh jalankan kedai ini.

Namun, seperti yang selalu aku dengan orang-orang tua bercakap atau marah-marah apabila aku berlari-lari di masjid adalah nasihat agar “jadi lelaki.” Untuk jadi lelaki, aku harus segera dapat membantu keluarga. Kalau boleh, aku—seperti juga atuk—tidak mahu ambil upah. Aku mahu punya perniagaan sendiri.

Atuk berniaga.
Abah berniaga.
Aku jadi tak tahu bagaimana kerja makan gaji.

***

ATUK ada lima-enam batang pokok rambutan. Harga rambutan tidak selarang* durian. Harga durian boleh cecah sampai lapan ringgit sekilo, dan kalau pun jatuh apabila musim luruh, durian di mana-mana, tetap harganya hampir dua ringgit. Masih tinggi berbanding rambutan dan manggis.

Orang beli durian kami, dan menjualnya kepada Cina yang bawa lori. Tauke Cina itu, dengan bermodalkan lori, bawa buah durian ke bandar. Kata abah macam itulah tauke-tauke itu buat untung. Ada juga yang menjual ke Singapura.

“Kita tak boleh jual terus ke Singapura?” tanya aku.
“Payah,” jawab abah.
“Kenapa?”
“Di sana, yang beli orang Cina… mereka tak beli kalau orang Melayu yang jual.”

Aku tak dapat bayangkan, bagaimana orang Cina akan membeli barang daripada orang Cina sahaja.

“Kita tak boleh jual murah sedikit… mesti dia beli dengan kita. Pokok durian kita punya sendiri, bukan kita beli dengan orang Cina,” penjelasan aku. Aku tak puas hati kerana tak dapat jual durian ke Singapura, walaupun aku sendiri tidak pasti, Singapura itu entah di mana.

Abah beri pelbagai alasan, yang ada kalanya, aku tak faham. Misalnya, kata abah, orang Cina beli buah durian dengan orang Cina sebab mereka mahu bantu bangsa mereka sendiri.

“Sebab itu kau kena tolong orang Melayu,” tegasnya. Seperti berceramah.

Kadang, apabila abah menghantar kereta ke bengkel, dan aku lihat mekaniknya Cina, apabila pulang, dalam kereta, aku tanya, “kenapa hantar betulkan kereta ke bengkel Cina?”

Aku, seperti nasihat abah, mahu berniaga hanya dengan orang Melayu. Jawab abah, “orang Melayu tak pandai betulkan kereta.”

Memang abah selalu ada jawapan.

Seperti juga kedai runcit, atau bengkel kereta; perniagaan itu payah. Terlalu banyak benda yang sulit aku tak faham. Lima pokok rambutan atuk, yang berbuah lebat tiap-tiap tahun, aku lihat terbiar. Kadang-kadang buahnya banyak yang membusuk. Yang di bawah-bawah sahaja yang dipetik orang. Sebab mudah. Yang dipucuk-pucuk, tak siapa peduli. Tupai dan monyet pun tak larat mahu menghabiskan.

Tapi, semua orang-orang kampung tidak mahu menanam rambutan, berbanding durian. Durian mahal. Rambutan tidak. Sekilo rambutan yang ditawarkan peraih hanya lima puluh sen. Kalau terlalu banyak, peraih tak mahu ambil. Ada juga cuba aku pujuk-pujuk untuk jual rambutan atuk yang tak siapa peduli itu apabila peraih menimbang durian yang diangkat dengan bakul buluh, tapi jawabnya, dengan mata terbeliak, “kau makan sendirilah!”

“Mana boleh habis! Lima batang. Mana boleh habis makan sendiri…” bebel aku ketika masuk rumah meninggalkan peraih itu.

***

TIAP-tiap petang, kala murid-murid sekolah menengah balik, yang mana rumah mereka agak masuk ke darat**, mereka akan melintasi dusun rambutan atuk yang terletak di tepi jalan masuk kampung. Aku lihat, tiap-tiap kali itu, ada sahaja yang mencapai buah rambutan yang dahannya melampai ke arah jalan. Ada yang siap berhenti dan panjat pokok. Atuk juga nampak. Tapi dia tidak hirau.

Kerana atuk tidak hirau, dan katanya “sedekah” maka aku sendiri pun jadi tegal biasa. Tak hirau.

Cuma, aku masih bara hati dengan peraih itu, yang suruh aku makan sendiri. Jadi, aku fikirkan hal ini, tentang bagaimana harga rambutan lebih murah daripada harga durian, sedangkan… budak-budak sekolah masih juga mencuri rambutan atuk. Mereka masih suka dengan buah rambutan—sama seperti sukanya kepada durian.

Telah aku, begitu.

***

HUJUNG minggu itu, aku memanggil seorang kawan. Helmi namanya. Dia lebih lasak daripada aku. Aku mahu mengupahnya memanjat pokok dan mencatas dahan-dahan yang agak kecil, atau memetik buah rambutan. Aku mahu mengikat dan menimbang buah-buah atuk, dan menjualnya di hadapan kedai runcit.

Helmi adalah kawan sekelas aku.

Keluarganya miskin; antara yang paling miskin di kampung kami. Bapanya tidak bekerja. Hanya ibunya yang bekerja pagi dan petang, atau kadang-kadang sampai ke malam. Rumahnya rumah bawah, tetapi tidak seperti rumah bawah orang kampung lain. Rumah Helmi tak bersimen. Berlantai tanah. Tidur di atas pangkin-pangkin sahaja. Adik beradiknya: kakak, adik perempuan dan adik lelakinya: tinggal di rumah itu, yang tak ada bilik tidur, melainkan kain tirai yang dijahit-jahit dan dijadikan seolah-olah bilik dengan tirai dilabuh.

Helmi mudah buat kerja-kerja kasar. Mungkin dia belajar daripada ibunya. Bapanya jarang aku lihat dia bekerja. Selalu di rumah, dengan melukis atau menghasilkan kerja-kerja lukisan, atau menulis huruf-huruf Arab. Ada yang dia lukis, dengan tulisan jawi, tetapi menjadi gambar seperti orang sedang bersembahyang, atau ayam jantan yang sedang berkokok. Pernah aku bertanya apabila tiap-tiap kali ke rumah Helmi, mengapa dia sentiasa berada di rumah dan tidak bekerja, jawab bapanya, “sakit.”

Bertahun-tahun dia sakit; sepanjang ingatan aku sejak aku kenal dia. Tak pernah pula aku lihat dia makan ubat, dan sangka ku, mungkin akibat keluarga itu terlalu miskin, maka, ubat pun tak terbeli.

Esoknya, datanglah Helmi untuk memetik rambutan kira-kira jam dua petang. Hari panas. Jalan tanah merah di sebelah rumah aku berdebu. Semakin kuat debunya setiap kali musim panas tiba dan lori-lori kelapa sawit yang tidak tahu perlahan walaupun masuk-keluar kampung. Apabila musim hujan, jalan jadi sangat lecak. Benyek teruk.

Kasut murid-murid sekolah akan kuning atau merah, walaupun pada hari Ahad. Walaupun mereka mencuci sebersihnya pada hari cuti: hari Jumaat dan Sabtu.

Helmi datang kira-kira selepas Zohor.

Dia memanggil aku. Aku di rumah. Keluar, dan kata kepadanya, agar dia pergi dahulu. Aku perlu menyiapkan karong-karong untuk mengisi buah rambutan yang siap disisih nanti. Dengan basikal, dia mengayuh ke dusun atuk.

Di tangan ada empat helai kantong. Kantong bekas gula pasir. Di kedai atuk, banyak kantong kosong, sama ada bekas gula pasir ataupun beras. Kantong-kantong itu sengaja disimpan dan kadang kala aku lihat atuk menggunakannya untuk mengisi barang atau benda-benda lain.

Kantong itu, boleh digunakan berkali-kali, dan atuk sangat berjimat.

Tentang hasratku menjual buah rambutan di hadapan kedai, atuk dan abah bersetuju. Emak tidak bantah. Pada fikiranku, rambutan itu nanti akan ditimbang sekilo-sekilo, atau paling banyak pun untuk dua kilo.

“Kau cubalah,” kata atuk.
“Hahaha…” kata abah.
“Boleh untung ke?” kata emak.

Helmi yang tadi sudah terlebih dahulu ke dusun rambutan atuk, tiba-tiba berkayuh laju. Aku melihat dia sekelibat. Laju dan tergesa-gesa.

“Helmi… Helmi… Helmi!” aku laungkan kuat-kuat.

Dia tak menoleh.

Dia membimbangkan aku.

Aku campak karong ke tepi rumah. Mengambil basikal, dan ke rumah Helmi.

***

EMAK Helmi tidak ada di rumah masa aku sampai. Cuma bapanya, dan adik perempuannya.

Kata bapanya, “Helmi kena sengat tebuan…”

Aku masuk ke rumah. Aku lihat dia terbaring. Mukanya nampak merah, walaupun kulitnya agak gelap. Dia menahan sakit.

“Kena tujuh das,” kata bapanya sekali lagi.

“Helmi… Helmi… Helmi…” aku memanggilnya perlahan. Duduk di dekat dia. Badannya aku pegang panas. Dia tak jawab apa-apa, kecuali mengerang menahan sakit. Ada kesan-kesan ubat yang disapukan adiknya. Juga minyak angin yang memekit di dahinya. Bau minyak itu menusuk hidung aku.

Di kepalanya sahaja ada tiga liang sengatan.

Malam itu, bersama seorang kawan yang lain, aku bakar sarang tebuan itu. Aku lihat api-api jatuh daripada tabung sarang yang pecah berderai dimakan api. Aku ketawa, melepaskan geram. Aku ketawa!

Esoknya, bersama kawan yang lain, yang menolong aku membakar sarang tebuan malam tadi, meneruskan kerja mencantas dan memetik rambutan. Helmi tidak boleh menolong. Terasa betul kehilangan seseorang yang boleh diharap, lebih-lebih lagi Helmi cekap buat-buat kerja kasar begini walaupun dia sebaya aku sahaja. Kawan seorang ini, dia lebih banyak mengajak aku berbual-bual sambil makan buah rambutan di bawah pokok rambutan. Yang redup.

Aku lihat, kulitnya lebih halus dan agak cerah. Berbanding Helmi.

Rambutan sesikat aku timbang sekilo-sekilo. Cuma beberapa ikat yang dua kilo. Yang mana hancur biji-biji, aku buat makan sendiri.

Petang itu juga aku mula berniaga. Petang itu juga aku mahu menjadi lelaki, seperti yang selalu diperkatakan oleh orang-orang kampung kami, yang lelaki itu harus pandai cari duit.

Rambutan aku laku. Hasil jualan lebih tiga puluh ringgit. Sekilo, sama dengan sesikat, harga jual yang aku sendiri tetapkan ialah RM1.50. Senang-senang aku boleh untung seringgit lebih tinggi berbanding dijual kepada peraih. Atau terpaksa mendengar kata-kata peraih, “kau makan sendirilah…”

Sekarang aku tak makan sendiri! Sekarang aku menjual buah rambutan atuk. Upah memanjat dan mencatas dahan, aku berikan kepada kawan si pengganti Helmi sebanyak lima ringgit. Dia cukup suka. Sekurang-kurangnya, mungkin dua minggu, dia tidak perlu meminta wang daripada bapanya. Sehari, wang ke sekolah ialah lima puluh sen… jadi kira-kiraku, dengan lima ringit, sudah tentu dua minggu…

Hari kedua, rambutan aku habis. Jualan lebih kurang seperti semalam.

Hari ke tiga, aku ke rumah Helmi. Dia masih terbaring, tetapi kini boleh bercakap. Pelan-pelan. Badannya masih panas.

Katanya, rambutnya akan putih nanti walaupun dia belum tua. Kesan kena sengat tebuan akan mencepatkan rambutnya menjadi putih. Putih dengan tiga tompok; kesan disengat tiga liang.

Aku ketawa. Hemli ketawa. Bapanya juga sama ketawa.

Aku hulurkan lima belas ringgit sebelum balik buat beli ubat. Duit itu, bapanya yang ambil untuk buat beli rokok.

Sambil memasukkan duit ke dalam poket bajunya yang lusuh, katanya, “budak jantan memang kena lasak. Kalau tak lasak, bukan lelaki namanya.”

Ketika berbasikal, aku fikir semakin susah untuk menjadi lelaki. Ada keperluan baru, iaitu “lasak.” Dan, lasak yang Helmi tunjukan kepada aku, ialah dengan disengat tujuh das sengatan tebuan. Tiga daripadanya di kepala, yang akan buat rambutnya nanti, walaupun belum tua, tapi sudah beruban.

Dan, ia kekal sampai bila-bila.

*Larang: mahal (bahasa Jawa)

** Darat: pendalaman, atau masuk ke kampung, yang bukannya di tepi jalan raya utama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. tak sia-sia aku dtg sini atas jemputan. sepatutnya kau terbit antologi sendiri. kau mahir berbahasa.
    aku selalu toleh kedai tu, tapi dah tak ada barang lagi.

  2. saya hamparkn tulisan tuan di webblog saya tanda penghargaan akan karya yg patut diraikan atas nama tuan.
    saya harap tuan tidak punya masalah dan saya berterima kasih sesungguhnya.

  3. Hasmi, gaya tulismu seakan-akan penulis tersohor. sayang, ia harus dijual. jangan sia-siakan. kau lelakikan?

  4. Salam,

    Qarmadharma – kedai itu, sudah lama menjadi rumah! 🙂
    Sapik – selagi tidak menanggalkan nama saya pada karya saya, tidak mengapa.
    Huzaifah – tulisan ini dikirim editor ikut masuk pertandingan Bakat Muda Selangor. Harap-harap menang, amin!

  5. Hasmi, aku suka sekali cerpen ini. Bahasamu jujur dan bersahaja. Doa aku moga kau menang dalam pertandingan bakat muda Selangor.

    p/s: kalau tak keberatan, mulalah tulis sambungannya.

  6. Al Ghazali Sulaiman – Cerpen ini kalah, tapi “Lembeng Awang” menang :p Trimas sebab membaca!