Malaysia dilahirkan sebagai sebuah masyarakat majmuk: berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang agama dan berbilang budaya.

Kemajmukan merupakan salah satu cabaran utama kepada pembangunan negara Malaysia: ada dua kemungkinan, sama ada ia menjadi punca kekuatan dan kemajuan, malah keagungan, atau pun ia menjadi punca konflik dan kelemahan, malahan kehancuran

Kemajmukan menuntut prinsip dan rukun hidup bersama yang boleh menjamin kesefahaman, saling hormat menghormati, keamanan. Kerangka Malaysia sebagai negara majmuk dengan beberapa prinsip dan rukun hidup bersama untuk rakyat Malaysia telah disediakan menjelang kelahiran Malaysia sebagai negara merdeka.

Kerangka ini yang sebahagian besar unsur-unsurnya termaktub di dalam Perlembagaan Negara tidak sempurna tetapi terbukti berfungsi dengan baik selama separuh abad, terutamanya jika dibandingkan dengan banyak negara-negara membangun yang sebaya dengannya.

Tuntutan supaya kerangka ini dikaji semula selaras dengan perkembangan masa adalah suatu yang natural. Sikap yang positif harus diambil terhadap tuntutan-tuntutan ini: perlu ada perbincangan dan dialog yang dijalankan secara waras dan rasional. Yang melibatkan isu-isu yang lebih sensitif seperti isu-isu keagamaan harus ditangani dengan bijaksana tetapi bukan dengan menutup pintu diskusi. Rakyat harus dididik supaya lebih matang dalam berbeza pendapat dan dalam mendekati isu-isu yang lazimnya dianggap sebagai “sensitif”

Dalam masyarakat majmuk, terutamanya masyarakat berbilang agama seperti Malaysia yang pola demografinya agak unik, dialog merupakan salah satu rukun hidup bersama yang terpenting

Malangnya, tradisi dialog antara agama belum berakar umbi di negara ini. Dialog masih berada di peringkat awal. Yang menyedihkan lagi, nampaknya belum ada kesungguhan untuk mempromosikan dialog dan usaha untuk mewujudkan suasana yang sihat untuk berdialog. Sedangkan masa depan negara banyak bergantung pada setakat mana rakyat negara ini menghayati semangat dialog di kalangan para penganut pelbagai agama di negara ini

Orang Islam patut sedar bahawa agama Islam mengandungi banyak ajaran yang menyokong usaha untuk berdialog antara agama (lihat catatan lampiran). Berbanding dengan kitab-kitab agama yang lain, al-Quran lebih banyak memperkatakan tentang keperluan dan manfaat dialog antara agama. Ini adalah kerana sebagai kitab terakhir yang diwahyukan kepada manusia ia mengambil kira keperluan-keperluan masyarakat manusia di zaman akhir sejarah umat manusia. Ini termasuklah keperluan manusia dari pelbagai bangsa dan agama hidup bersama dengan aman damai.

Di Malaysia ada banyak isu berkaitan dengan agama yang perlu ditangani secara bijaksana. Yang mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu agama perlu berada di barisan hadapan dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang boleh membawa konflik terbuka di antara penganut-penganut pelbagai agama

Banyak ilmu yang diperlukan untuk membina tradisi dialog yang sihat dan produktif: ilmu tentang sejarah negara ini, tentang agama-agama lain selain daripada agama kita sendiri, tentang kepelbagaian budaya dan keetnikan di negara ini. Kita memerlukan pemimpin agama dan intelektual dan cerdik pandai yang berwibawa untuk membantu Malaysia diuruskan dengan baik sebagai masyarakat majmuk

Tulisan ini merupakan ringkasan terhadap syarahan Prof. Emeritus Dr Osman Bakar di Majlis Syarahan & Diskusi anjuran IKD-KAF, Disember 2006

Kertas ini dibentangkan dalam syarahan umum anjuran Institut Kajian Dasar di PJ pada 15hb Disember 2006

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan