BENAR , Malaysia juga perlukan superhero dan epik yang dahsyat. Juga luar biasa. Ini terlambang dalam watak-watak dalam hikayat seperti Hang Tuah. Kemudian slogan dicipta dan Tuah sengaja diciptakan sebagai simbol eksistensi dan kepahlawanan Melayu. Tuah kononnya berkata, dengan ungkapan yang sangat klasik, juga klise sekali, “takkan Melayu hilang di dunia”.

Hero diperbesar-besarkan. Daripada tubuh fiziknya, kepada songkok tengkoloknya, senjatanya (seperti Keris Taming Sari), sahabat-sahabat dan saudaranya serta juga keturunannya. Diceritakan, umpamanya dalam Sulalatus Salatin , sejak awalnya, bahawa Puteri Syahrul Bariyah, anak Raja Kida Hindi itu, telah berkahwinlah akannya oleh Iskandar Zulkarnain, sang penakluk Timur dan Barat. Maka hamillah puteri itu dan tidak tahulah akannya tentang dirinya yang hamil itu.

Begitu jugalah tentang anak-anak Raja Suran yang terbit dari alam bawah laut dan jatuh di teratak buruk Wan Empuk Wan Malini dengan masing-masingnya dengan tiga jenis kenderaan dan senjata yang luar biasa. Hikmatnya lagi, menjadi emaslah segala padi di sawah.

Begitulah harapan diberhalakan atau dijadikan lagenda, diperbesar-besarkan dan dikarang epik berkaitannya—atas satu hasrat: bahawa manusia itu memerlukan superhero —lambang harapan, hasil putus asa dan kebuntuan yang dalam. Dan, setelah beberapa lama, Cicak-Man lahir, walau separa serius membawa harapan yang sebegini. Kerana itu, ia bukan sekadar komedi murah yang akan datang dan pergi begitu sahaja.

Dari sudut komersialisme, enam tahun dalam sejarah perfileman tanah air, tidak ada filem yang mampu mencabar buah tangan Yusuf Haslam Sembilu dengan kutipan enam juta. Kemunculan Cicak-Man sedikit menggegarkan. Ia mengutip RM 350,000 hanya pada hari pertama ia ditayangkan. Dan ditutup dengan kutipan penuh RM 4.5 juta. Suatu jumlah yang membanggakan dalam industri perfileman tempatan. Dan hingga kini, melalui KRU Films, Cicak-Man mula menerobos pasaran-pasaran lain di negara jiran.

Cicak-Man menjadi urban myth , simbol dan wajah baru sosok harapan manusia sini (dan kini)—kedua terbesar selepas mitos Hang Tuah yang dulu. Harapnya kenyataan ini tidak keterlaluan.

Namun, daripada pelbagai sudut, mudah bagi penonton dan pengamat meneliti dan menelanjangkan filem ini. Boleh saja dipertikaikan dari aspek apa pun sama ada tata rias, kostum, lakonan, pengarahan, pencahayaan, teknik janaan komputer CGI, set lokasi malah apa pun. Tetapi kekuatan yang pertama tadi boleh saja mengelabui kritik-kritik tersebut begitu sahaja.

Filem arahan pengarah muda Yusry KRU ini memilih jalan mudah dengan memakai formula Hollywood yang sedia ada. Kecuaian teknologi menyebabkan atau menukarkan manusia menjadi supernatural , malah lebih berkuasa seperti binatang-binatang tertentu. Formula ini walaupun klise tetapi dalam sejarahnya berjaya. Lihat saja Spiderman , Batman atau Catwoman , labah-labah, kelelawar dan kucing dan kini cicak, walau cicak dalam psikologi kolektif bangsa membawa konotasi jijik dan menggelikan. Cicak nyata bukan binatang yang dijadikan ikon atau dimuliakan atau dibanggakan seperti lembu, seladang atau harimau.

Kisah tidak lagi bermula di Antah Berantah, nama malas yang dicipta kreativiti cetek zaman lalu, tetapi Metrofulus, metropolitan moden yang mana kayu ukurnya dalam pelbagai aspek hanya satu: Fulus. Hairi (lakonan Apek), anak muda humor yang bekerja di makmal Profesor Klon (Aznil Nawawi) dengan tidak sengaja terminum kopi bercampur cicak yang menjadi bahan uji kaji untuk mencari vaksin bagi virus merbahaya 266 yang melanda kota tersebut.

Kesannya ia boleh melakukan perkara-perkara luar biasa bagi manusia yang hanya boleh dilakukan oleh cicak seperti melekat di dinding, memanjangkan lidah dan berbunyi seperti reptilia tersebut. Tanpa disedari, ia juga pelan-pelan menjadi cicak, sepenuhnya—mula menggemari serangga sebagai makanan, tak boleh berdiri dengan dua kaki lagi.

Metrofulus, kota ilham dari Gotham City dalam siri-siri Batman yang dijana dengan komputer sepenuhnya, menggabungkan realiti di beberapa tempat seperti Putrajaya secara total digerakkan oleh kuasa wang. Korupsi bermaharalela dan teknologi diekplotasi secara monopoli demi mengejar habuan yang lebih besar: Kekuasaan politik. Lima menteri negara hilang. Profesor Klon, pemilik Klon Corporation, majikan Hairi dan teman baik serumahnya Danny (Yusry KRU) membikin rencana. Menteri diculik dan menteri diklonkan. Maka pemimpin negara yang tampak karismatik di kaca TV dan di pentas politik itu sebenarnya boneka. Maka filem ini entahkan sengaja atau tanpa sedar dan mungkin di bawah sedar menyindir kita. Katakanlah Khairy Jamaluddin, putera Cambrige itu sebagai Profesor Klon dan Abdullah Badawi menterinya. Katakanlah.

Prefesor Klon dibantu oleh Ginger Boys, Ginger 1 (AC Mizal) dan Ginger 2 (Adlin Aman Ramli) mencipta dan menyebarkan virus. Kemudian mereka mencipta vaksin, dijual dan menjadi kaya-raya. Perubatan menjadi medan kapitalisme ekstrim. Tetapi untuk tujuan yang lebih besar, kekuasaan seperti yang disebut tadi, Profesor Klon mahu lebih dari itu. Ia akan memerintah Metrofulus dari tubuh ‘menteri-menterinya’.

Hairi dan temannya Danny mulai sedar bahawa ada yang tidak kena dengan semua ini. Baru saja mereka menemukan vaksinnya, sang antagonis telah mencanangkannya di layar perak. Kemudian, dengan kuasa cicaknya itu ia menyelinap ke kediaman Profesor Klon. Tania (Fasha Sandha) di situ ketika itu dan ia terdengar perbualan yang tidak patut didengarinya. Dan ia pulang tergesa-gesa dan separa ketakutan. Hairi, pemuda kurus kedeking dalam kostum merah masuk ke kamar tidur, mencuplik instan dokumen perancangan Profesor Klon.

Tika itu menjadi cemas. Ginger Boys keluar mengamuk. Tania disyaki dan cuba dikasari tetapi dalam masa yang sungguh tepat, ‘cicak’ ada sebagai penyelamat. Dan akhirnya hilang antara dinding-dinding. Sekonyong-konyong Danny lalu. “Kamu nampak lelaki bertopeng merah?” soal Tania yang bekerja di tempat yang sama tetapi sebagai setiausaha Profesor Klon.

“Tidak,” jawab Danny.

“Menurut kajian, mengunyah Chewing-gum boleh membuatkan seseorang itu tenang,” katanya sambil menghulurkan gula-gula getah.

Dan cinta pun berputik. Mereka bersaing menuju ke rumah. Cicak-Man memerhatikan dari jauh dengan api cemburu. Si puteri membayangkan wajah Danny, “engkaulah Cicak-Man aku,” fikirnya.

Kemudian bermulalah babak-babak cemas dengan plot-plot menarik. Bercambah tapi akhirnya menyatu dengan kemas. Dari sudut ini Cicak-Man lancar sekali. Bumbu cinta dan thriller diadun secukup rasa menjadikan filem hampir dua jam ini tidak membosankan.

Untuk Cicak-Man pula bermulah tugas sukar membongkar rancangan jahat ini, justeru sekali gus menyelamatkan dunia, membantu mereka yang memerlukan. Tetapi dengan kekuasaan, watak hitam menggunakan pelbagai taktik dan sarana. Media diekploitasikan sesuka hati dan jabatan polis tidak boleh dipercayai. Dengan suntingan yang framing yang kemas, imej Cicak-Man diterbalikkan dengan sangat serius. Ketika superhero ini mengutip syiling untuk bocah di jalan, ketik kamera dan editor surat khabar menulis heading yang sangat ironis: Cicak-Man “pow” budak. Di lensa dan kertas, Cicak-Man musuh negara nombor wahid.

Di klimaksnya, Hairi mulai merasi perubahan pada tubuhnya. Ia sukar berdiri dengan dua kali dan sebelum seratus-peratus bertranformasi, dalam saat singkat itu dia mesti menyelamatkan Metrofulus dan rakyatnya. Ia meninggalkan pesan ringkas buat Danny, “Cari antidot untuk aku. Segala bulu, sel dan najis telah aku tinggalkan untuk kajian engkau,” katanya.

Ketika Hairi pergi sebagai Cicak-Man, budak kembar upahan Profesor Klon pun tiba. Danny diberkas dan dibawa pergi dengan antidot yang berjaya ditemuinya. Tania sedar. Juga Hairi. Tapi Tania tidak boleh melihatnya dalam kostum merah, juga ketika ciri-ciri cicaknya mulai terbit. Ia mengurungkan diri di dalam bilik dan Tania menyedarinya. Dengan tangisan, “kamu sungguh selfish , Hairi,” katanya tanpa sedar apa sebenarnya yang terjadi.

Cicak-Man menggagahkan diri. Di bumbung, pertarungan sengit bermula. Cicak-Man hitam, versi klon membelasah kuasa kebaikan setelah Ginger Boys hampir menyerah. Ia menjadi senjata terakhir Profesor Klon. Tetapi dengan keazaman dan kekuatan hati Cicak-Man tidak menyerah hingga akhirnya ia bergaya seperti laki-laki. Muzik sedih mengiringi dan tidak banyak pergerakan. Baik kamera mahupun pemeran. Danny menghembuskan nafasnya yang terakhir. Danny menjadi korban untuk sebuah Metrofolus. Dan seperti lazimnya, polis pun terhegeh-hegeh tiba. Cicak-Man mendapat ubatnya dan pergi dan kembali normal—hero yang tidak lagi super.

Syut akhir begitu meninggalkan kesan. Hujan renyai-renyai di kota buatan seperti sebuah kota sunyi di Eropah yang romantis sekali. Tania dalam ratipannya yang menjadi zikir, “Danny, Danny dan Danny,” katanya, “engkaulah Cicak-Manku,” katanya.

Hairi pula terpaksa menyerahkan cintanya kepada kepada arwah temannya. “Kalaulah engkau tahu bahawa akulah sebenar Cicak-Man….”

Filem yang bermula humor ini berakhir dengan kesayuan dan keterharuan-keterharuan. Beri saja empat bintang untuk cerita, dan keberanian meneroka genre-genre baru dalam industri perfileman tanah air. Satu bintang ditolak dari lakokan lawak bodoh yang nampak dibuat-buat. Namun sebelumnya, ingat: Cicak-Man bukan juga yang pertama.

Jangan lupa pada Kluang-Man.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Admin terlalu membaca teks yang sedai ada..cuba anda mememahi subteks yg cube disampaikn oleh Yusry..cicak man bukanlah naskah murahan kerana ia dipenuhi dengan ideologi kapitalisme arus urbanisasi dan modenisasi masyarat setemapt.pencirian cicak man itu sendiri mencerminkan keperibadia tipikal melayu yang masih lemah dan tidak segah superhero barat manakala kota metrofulus adalah metafora kepada kota kuala lumpur pada masa akan dtg yg bakal ditakluki oleh kuasa hegemoni pihak elit yang sentiasa mngutamakn kuasa. selain dari itu yusri juga mempertikaikan peranan media sebagai sumber penyampai maklumat yg memperlihatkan akhbar memanipulasikan kebaikan cicak man sbagai super hero.anda perlu mentelaah dahului sblm membuat kesimpulan