Oleh: Helme Hanafi

(Pendidikan awal di Pondok Pokok Sena)
Hari ini saya memilih untuk bersurah tentang masa lalu; satu cerita yang sengaja dilupakan. Kerana sering timbul rasa rendah diri, bila mengenang kembali, pengajian pertama, di peringkat menengah adalah di sekolah pondok.

Sekolah pondok dalam ertinya yang sebenar bukan pondok moden seperti yang banyak terdapat kini.

Mengapa saya katakan begitu? Kerana saya malu untuk bercerita bahawa di sekolah saya, kami para pelajar hanya memakai kain pelikat dan baju Melayu untuk ke kelas manakala asramanya adalah pondok-pondok kecil beratapkan daun nipah yang memuatkan tidak lebih dua orang setiap satu.

Tiada bekalan elektrik, kami hanya menggunakan pelita atau lilin, ada dapur minyak tanah untuk memasak, air pula perlu diangkut dari pili berhampiran. Membasuh dan mandi menggunakan air telaga, tanpa peraturan displin yang ketat dan pelajar-pelajarnya tidak ada had umur.

Mungkin pendidikan jenis ini bukan isunya pada tahun 1960-an atau 70-an, tapi apa yang saya kisahkan ini adalah pengalaman di tahun 1990, tahun di mana Wawasan 2020 dilancarkan, dan pemimpin kita bercakap soal membina sebuah negara maju.

Ketika saya masuk ke Pondok Pokok Sena pada tahun 1991, saya hanya berumur 13 tahun, sedangkan rakan sepondok berusia 18 tahun. Kebanyakkan yang masuk ke sekolah itu selepas gagal dalam persekolahan aliran akademik, dan apalah takdirnya saya masuk ke sekolah itu ketika tamat darjah enam.

Saya sering mempersoalkan kewajarannya pada masa itu, keputusan untuk saya bersekolah pondok adalah dari ayah, seorang lelaki konservetif, yang kata-katanya adalah undang-undang, dan memerintah keluarga kami seperti seorang diktator. (Ini fikiran saya waktu itu). Sudah tentu saya menuruti kehendak ayah dengan hati yang sebal dan bebal.

Pondok Pokok Sena terletak di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Ketika saya belajar ada lebih kurang 60 buah pondok dengan purata pelajar 100 orang. Paling muda berusia 13 tahun dan paling tua berusia 29 tahun.

Dalam aliran sekolah agama pondok. Pondok Pokok Sena ini merupakan pondok yang terkenal di sebelah utara. Ia punya sejarah yang panjang. Di dirikan pada tahun 1948, oleh Tuan Hussein Kedah, (orang yang sama mengasaskan Pondok Pak Ya di Gurun Kedah).

Tuan Hussein Kedah kemudiannya mewariskan pondok ini kepada anak sulungnya, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein, ahli parlimen PAS yang pertama, satu-satunya calon pembangkang yang menang dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu1955.

Ketika zaman kegemilangannya, sekitar tahun 1970-an, terdapat lebih 500 pondok dengan pelajarnya lebih seribu orang. Kawasan pondok ini luas kerana kebanyakkan tanahnya diwakafkan oleh orang kampung.

Bandar yang paling hampir adalah Kepala Batas, kira-kira 6 kilometer dari situ. Kedudukan Pondok Pokok Sena yang terkeluar dari jalan utama menjadikan ia satu institusi pengajian yang tersorok dan barangkali dilupakan.

Di kelilinggi kampung dan sawah padi, kami para pelajar diwajibkan berdikari, misalnya, memasak makan, membasuh pakaian dan menguruskan kehidupan tanpa sistem yang teratur.

Begitu juga dengan pendidikannya, tidak ada sistem yang jelas seperti jadual kedatangan. Sesiapa boleh masuk atau ponteng kelas, lebih dari itu ia menuntut kerelaan diri sendiri untuk belajar atau sebaliknya. Tidak ada garis panduan yang jelas.

Jadual hariannya mudah, setiap hari kami akan bangun untuk bersembayang Subuh. Akan ada seorang secara sukarela mengetuk dari pondok ke pondok, “Bangun. Subuh, Subuh,”. Tidak lama kemudian, cahaya pelita mula menerangi pondok-pondok usang itu.

Solat selalunya di surau yang dikenali sebagai ‘Gurabak’. Selepas solat Subuh pelajaran bermula, kuliah oleh ustaz yang ditentukan mengajar pada pagi itu. Pelajarannya barangkali Tauhid, ada harinya Fekah, ada paginya Usul Fikh, ikut guru yang mengajar.

Apabila hari sudah cerah-cerah tanah, kuliah berakhir, kami balik semula ke pondok, mencari makan pagi, selalunya dibeli dari kedai berhampiran, nasi lemak, dan kuih manakala airnya dimasak sendiri.

Jam 9.00 pagi, selepas sarapan, mandi, dengan kain pelikat dan baju Melayu, kami masuk ke kelas yang disediakan, di sini pelajar di bahagikan mengikut peringkat, Tahdiri (peralihan), Awal Akhdadi, Akhdadi Satu, Akhdadi Dua dan Akhdadi Tiga sebelum beralih ke peringkat lebih tinggi iaitu Awal Senawi, Senawi Satu, Senawi Dua Senawi Tiga dan Empat Senawi.

Sekurang-kurangnya tujuh tahun diperlukan untuk menghabiskan pengajian hingga ke peringkat Empat Senawi. Dan pelajar yang tamat selalunya memilih ke Universiti Al-Azhar bagi melanjutkan pelajaran.

Namun ada yang mengambil masa lebih dari tujuh tahun, kerana jika pelajar gagal dalam peperiksaan tahunan, mereka tidak layak untuk naik kelas dan terpaksa mengulangi semula pelajaran di kelas yang sama.

Ada sukatan pelajaran. Tetapi tidak pernah dituruti baik oleh murid atau guru; kerana seperti juga murid kebanyakkan guru mengajar dengan elaun bulanan yang kecil; pada masa itu RM400 sebulan. Kerana itu juga ada guru yang sebelah paginya berkerja di sawah sebelum mengajar di kelas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Salam
    Saya nak tau sekarang ni sekolah tahfiz/pondok yang mana sesuai utk anak2 di Selangor Puchong…yang boleh balik hari…kebanyakan nya diperlukan berasrama..saya kesiankan anak2 saya yg 7 tahun dah kena basuh baju sendiri etc…harap dapat nasihatkan…