Khalid Jaafar

Saya mulakan perbicaraan ini dengan membuat pertimbangan kritis terhadap pandangan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Saya menyanjung Tun Salleh dalam perjuangannya mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dari cengkaman pihak eksekutif. Tetapi saya agak kritikal dan sangsi dengan beberapa aspek tafsiran beliau terhadap perlembagaan. Meskipun tafsiran beliau tatkala menjadi Ketua Hakim Negara mempunyai kekuatan undang-undang saya percaya Perlembagaan juga boleh ditafsirkan dari sudut-sudut lain, misalnya dari perspektif sejarah, dari sudut falsafah dan sebagainya.

Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal. Maksud saya adalah: Perlembagaan Persekutuan ada buah atau hasil dari perjuangan liberal, iaitu perjuangan manusia untuk menamatkan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan, kejahatan yang berpunca dari pemerintah. Dalam pemikiran liberal kerajaan atau pemerentahan adalah kejahatan yang perlu, necessary evil, Kata Thomas Paine dalam risalah yang bertajuk Common Sense:

“Society is produced by our wants, and government by our wickedness …. Society in every sense is a blessing, but government in its best state is but a necessary evil.”

Ketika gerakan liberal muncul di abad ke-17 perjuangannya adalah untuk menamatkan kuasa mutlak pemerintahan sistem beraja. Pemikiran ketika itu adalah raja memerintah secara mutlak kerana mandat yang diberikan oleh Tuhan – the Divine Rights of King. Ideologi ini disanggah oleh John Locke melalui Two Treatises on Civil Government. Menurut Locke apabila raja zalim rakyat berhak untuk bangun memberontak. Maka muncul perlembagaan, meskipun tidak bertulis, untuk membatasi kuasa raja. Selepas itu semua Negara-negara mempunyai perlembagaan bertulis untuk meletakkan batas-batas kepada pemerintah. Ada ruang yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah seperti ruang peribadi, ada yang terdapat dalam minda sesaorang dan apa yang dipercayai oleh sesaorang.

Idea asas kepada perlembagaan adalah constitutionalism atau keperlembagaan, iaitu dengan membataskan kuasa pemerintah maka kebebasan rakyat akan terjamin, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah. Kebebasan beragama, kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun adalah idea-idea yang terhasil dari perjuangan liberal, dan semua unsur-unsur in terdapat dalam perlembagaan kesemua negera-negara moden termasuk Malaysia.

Mungkin kerana sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen liberal maka Tun Salleh yang ketika itu Ketua Hakim Negara menulis satu rencana bertajuk “Traditional Elements of the Malaysian Constitution” sebagai rencana pertama kepada sebuah buku bertajuk The Constitution of Malaysia: Further Perpectives and Development yang merupakan kumpulan rencana untuk menghormati Tun Mohamed Suffian.

Lima unsur disebut oleh Tun Salleh sebagai tradisional: Kesultanan, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Kedudukan Istimewa Melayu. Secara sekali imbas perkara ini boleh diterima. Tetapi kerana saya telah berumur 50 tahun, dan lebih tua dari Kemerdekaan maka saya ingin meneliti secara kritis pandangan Tun Salleh.

Pertama dalam konsep tradisi yang digunakan Tun Salleh Abbas dalam pandanganya. Sejauh mana kita perlu menoleh kebelakang dalam sejarah masyarakat untuk dapat kita merumuskan unsur tradisi tersebut. Apakah sehinga abad ke-19 tatkala masyarakat Melayu yang pada ketika itu mempunyai institusi politik dan sosialnya paling lemah? Apakah imej masyarakat Melayu tradisi itu hanya terbatas kepada abad ke-19 atau masyarakat Melayu yang ditemui oleh Raffles, Francis Light, J W W Birch dan seperti yang ditulis oleh Frank Swettenham yang menggambar orang Melayu sebagai malas, bodoh dan bahlul?

Dari sejarah pembentukan kerajaan Melaka di abad ke-15 merupakan detik penentu dalam sejarah Negara. Mengapa tidak kita mengambil amalan kesultanan Melayu Melaka di abad ke-15 untuk dijadikan sebagai unsur tradisi?, Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis adalah salah satu kota terbesar di dunia. Dan ia adalah sebuah kota kosmopolitan. Terdapat 22 bahasa yang dituturkan, sebuah kota pelabuhan perdagangan bebas. Pemerintahnya terdiri dari pelbagai kaum, dan dengan penyertaan meluas masyarakat India (khususnya Gujerat), Arab dan Cina dalam perdagangan. Mengapakah sifat kosmopolitanisme ini tidak dilihat sebagai salah unsur tradisi.

Apabila kita menyebut tradisi politik Melayu kita harus sedar bahasa tradisi tersebut tidak monolitik, tidak jumud. Tradisi tersebut juga dinamik, kosmopolitan, khususnya dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Aspek kosmopolitanisme masyarakat Melaka di abad ke-15, dan pemahaman dan apresiasi semula diri sejarah kita (our historical self) ini, sungguh relevan bagi kita hari ini. Saya juga melihat perkara ini sebagai satu unsur penting dalam memahami dan mentafsir Perlembagaan Persekutuan sebagai satu dokumen yang bernyawa (a living document).

Saya juga berpendapat dengan pandangan Tun Salleh tentang agama Islam memerlukan penjelasan dan pengamatan. Beliau menulis:

“The complete identification of religion with race is so fundamental to Malay thought that the religion of Islam has become an important constituent element in the legal and constitutional definition of ‘Malay’.”

Cuba kita fikirkan ungkapan seperti “the greatest Malayan” – Melayu paling agung; “the pride of the Malay” – kebangaan bangsa Melayu; ungkapan ini digunakan oleh rakyat Filifina kepada wira mereka Jose Rizal, seorang Katolik. Begitu juga rumpun Melayu yang lebih besar, iaitu bangsa Indonesia yang juga kebetulan mempunyai jumlah rakyat yang beragama Islam yang terbesar di dunia , tetapi identifikasi kaum dengan agama itu tidak berlaku.

Tun Salleh juga menulis: “To be a Malay one must be a Muslim, although he may not be a pracitising or devout Muslim.” Beliau begitu tegas sekali mengatakan identifikasi Islam dengan Melayu dari perspektif Islam dan kepentingan menjaga imej kesucian dan tetapi meletakkan penghayatan Islam itu pada tahap minima. Bahkan penghayatan tidak perlu, cukup hanya pada nama. Islam ini menimbulkan beberapa persoalan. Imej Islam di Malaysia, khususnya di kalangan bukan Islam, akan bergantung kepada imej Melayu di kalangan orang-orang bukan Islam.

Dari tulisannya dan penafsiran tersebut Tun Salleh tidak menuntut identifikasi Melayu dengan Islam dengan kefahaman terhadap Islam yang cerah (enlightened), tinggi dan mendalam. Jika umat Islam tidak mahu Islam tercemar dengan aspek-aspek negatif bangsa Melayu maka makna identifikasi tersebut mestilah diperkayakan. Identifikasi baru mestilah dengan tafsiran Islam yang universal, rasional, kosmopolitan, inklusif dan toleran. Masalah akan timbul, seperti yang berlaku hari ini, apabila identifikasi tersebut adalah identifikasi Islam dengan sentiment sempit , perkauman dan asabiah (chauvanisme) Melayu.

Apabila Islam diturunkan ke masyarakat Arab antar mesejnya adalah untuk menghapuskan asabiah atau perkauman sempit, dan mengajak manusia keluar dari kempompong suku-suku kepada keadilan sejagat. Dan dalam sejarahnya di Alam Melayu Islam juga membawa tradisi intelektual, rasionalisma, intelektualisme di Asia Tenggara sebelum datangnya liberalisma dan rasionalisme sebelum kedatangan Inggeris dan Belanda.

Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran. Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum.

Dilema Melayu, sekadar meminjam tajuk buku Tun Mahathir tetapi saya menolak seluruh isinya, di zaman melonjaknya semangat perkauman dan agama adalah: Apakah ‘complete identification of religion with race‘ itu merupakan identifikasi Islam dengan ideologi sempit ketuanan Malayu ; atau ideologi sempit itu disemak dan diukur dengan kriteria al-Qur’an?

Setiap orang Islam perlu berdepan dan sentiasa dicabar oleh ayat-ayat berikut:

Wa ma qadarullaha Haqqan Qadru al-An’am: 91 yang bermaksud “ Dan tiadalah merekah menghormati Allah sesuai dengan perhormatan yang sebenarnya.” Ayat ini mencela mereka yang memberikan anggapan yang salah terhadap Tuhan, menggunakan nama Tuhan untuk bersikap tidak adil, untuk membenci kaum lain dan mereka yang berlainan agama.

Walau shaa Allah lija’al annas ummatan wahidatan, Mai’dah: 48 yang bermaksud: “Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat.” Ayat ini menegaskan bahawa kepelbagai agama, kaum adalah kehendak Tuhan.

Dari perspektif ini cabaran sebenar kepada gabungan dan ilusi asabiah Melayu dengan Islam konservatif bukan datangnya dari Islam liberal, atau faham pluralisme liberal moden. Ia datang dari al-Qur’an sendiri.

Maka disinilah saya melihat pertemuan idea-idea liberal dengan Islam yang ditafsirkan secara luas, bukan tafsiran yang bergantung kepada pemikiran Barat, tetapi tafsiran yang sudah ada dalam tradisi Islam itu sendiri tetapi telah dilupakan.

Di awal tadi saya menyebutkan bahasa Perlembagaan Persekuatan adalah satu dokumen liberal, atau hasil dari perjuangan liberal. Apakah inti perjuanga liberal itu sendiri. Saya kutip rumusan pemikir liberal semasa John Gray:

“it is individualist, in that it asserts the moral primacy of the person against any collectivity; egalitarian, in that it confers on all human beings the same basic moral status; universalist, affirming the moral unity of species; and meliorist, in that it asserts the open-ended improvality, by the use of critical reason, of human life.” (John Gray Liberalism page 86).

Saya tidak melihat ini sebagai bertentangan dengan Islam. Bagi saya dalam konteks Malaysia perjuangan Islam yang konsmopolitan adalah untuk memperkukuh dan memperkasakan peruntukan-peruntukan dalam bahagin Kedua Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan-peruntukan tentang kebebasan asasi. Perlembagaan itu wujud, berfungsi kerana wujudnya pendapat awam yang mendukungnya. Bahagian kedua, iaitu tentang kebebasan asasi, ini semakin lemah tahun demi tahun kerana tidak ada wacana tentang kebebasan.

Tatkala Malaysia lebih “liberal” dan “sekular” tidak ada wacana atau discourse tentang kebebasan. Bahkan golongan sekular itu lebih nasionalis sifat dan pemikirannya dari liberal. Maka wacana yang mendominasi adalah wacana tentang Negara. Saya telah berumur 50 tahun saya belum membaca satu wacana tentang kebebasan dari rakyat Malaysia. Wacana yang pertama adalah “The Passion for Freedom” yang ditulis oleh Anwar Ibrahim dari penjara. Maka pejuangan untuk meluaskan kebebasan – agama, politik dan lain-lain – harus dimulai dengan wancana tentang kebebasan.

Dan wacana ini harus berjalan dalam suasana yang yakin, bukan dalam suasana takut dan tidak selamat, dalam suasana objetif bukan partisan: Kerana Konfusius berkata dalam The Great Learning (Ta Xue):

“If the person is moved by passion, he will not achieve correctness; if he is moved by fear, he will not achieve correctness; … if he is moved by sorrow and distress, he will not achieve correctness.”

Khalid Jaafar adalah Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Dasar (IKD) dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (keADILan). Kumpulan esei-eseinya diterbitkan di dalam buku Tumit Achilles.