AiLL

Si anak montok
yang belum erti mengilah
duduk di kursi gereja
mata belelek, meliar keliling;
tiada daya orang tua melayan,
dalam sibuk menghajat Tuhan.

Si kerdil comel
umur belum tiga,
pada Ahad ku hadir
telah terkenan dengan
setimbun buku tebal;
senyumnya melebar, kerana mustaid kerjanya
pada pagi Ahad itu
antara baris kursi gereja.

Benakku ligat
tapi mataku mengikut
kerenah si anak manja
yang sibuk menyusun buku, dan menyelak halaman
buku-buku yang tak lagi dia faham.

Tapi si anak ini,
dia enggan disekat,
dari cuba menyurih
huruf-huruf semut
dengan jemari montel,
dan mata rancak yang
tak lagi kenal rumi;

Mungkin dia terdorong,
meniru lagak sarjana
yang pernah dilihat, entahlah mana
atau terlipatkah kemas,
dalam sanubari setiap manusia
seribu ragam dan langkah,
yang bakal tertunai
bila dah terputik di jiwa ?

Wahai anak manja,
belum lagi kau sedar,
yang setiap titik gerimu
menyambar fikirku
kepada seorang cendekia,
yang gemar menilik ilmu
daripada sehimpun kitab.

Ingin ku kemuka
kepada setiap mereka
yang menilai diri pujangga
adakah batin dirikau
umpama zahir sikecil manja
yang tak menyelam tujunya
semata menghabis masa
hingga tamatnya waktu salat?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan