Dia mengambil wuduk. Berkumur. Mencuci dua pergelangan tangan. Sambil itu, dia membaca niat wuduk dengan penuh yakin. Kemudian dibasuh seluruh mukanya dari bahagian anak rambut hingga ke anak telinga dan bawah dagu. Tangannya diratakan dengan air dari atas siku hingga ke bawah. Dia melakukan wuduknya dengan cermat, penuh tertib.

Ditadah lagi air dengan kedua belah telapak tangannya. Seterusnya, air itu diratakan pula ke kepalanya yang sudah dibotakkan. Sambil itu, dia membaca doa setiap kali selesai melakukan sesuatu tertib. Dia yakin wuduknya akan diterima. Kemudian telinganya dibasuhkan. Setiap perlakuannya yang mengingkari perintah Ilahi, pasti akan gugur bersama-sama titik air yang menitis. Dia tiba di pengakhiran, kakinya dibasuh dengan penuh hati-hati, bagi memastikan rukun yang terakhir itu sempurna. Selesai berwuduk, dia mengangkat tangan menadah doa tanda selesai wuduk.

Pakaian yang bersih berwarna putih sesuai untuk dibawa solat, dipakainya. Kopiah putih dkenakan di kepala. Sejadah dibentang. Niat untuk solat Isyak. Dia mengangkat takbir. “Allahuakbar.” Terang dan jelas takbirnya. Selesai membaca doa iftitah, sambil menangis teresak-esak, dia membaca pula surah al-Fatihah. Bacaannya betul, lancar. Aminnya kuat. Di sambut pula dengan Surah aL-Fill. Sehingga selesai. Kemudian, dia rukuk. Bangkit dari rukuk. Toma’ninah. Seterusnya dia sujud menyembah Allah. Semua perbuatannya dilakukan dengan penuh tertib. Yang dahulu didahulukan. Setiap kali sujud dia pasti akan sujud panjang dan tangisannya tak pernah henti sepanjang solatnya itu.

Selepas selesai memberi salam, dia membaca beberapa ayat memuji Ilahi, Surah al-Kursi dan bertaubat kepadaNya. Kemudian, dia mengangkat tangan. Menadah langit. Sedia untuk berdoa. Air matanya makin laju menitis. Dia yakin dengan pilihannya kali ini. Dan dia sudah cukup bersedia.

Di bilik, keadaan nampak kemas. Kain bajunya tersusun rapi di dalam almari. Kerusi dan meja tempat dia selalu menulis dan membaca nampak teratur. Ada beberapa gambar di atas meja. Gambar keluarga dan kekasih yang tercinta. Dia mengaku, tak dapat sepenuh melupakan kekasihnya. Namun demi kerana Yang Maha Esa, dia tidak punya pilihan. Dia akan melakukan apa sahaja yang diminta oleh tok gurunya. Dia akan tetap nekad meninggalkan dunia yang penuh kemaksiatan ini, dan perginya dari tempat ini bukan pergi kosong semata. Dia rela berkorban. Meninggalkan kekasihnya, keluarga, kemewahan dunia dan segalanya demi kerana jihad.

Hari ini dia telah diasingkan daripada sahabat-sahabat seperjuangan. Mungkin memberi peluang kepadanya untuk betul-betul bersedia dan melupakan segala kemaksiatan dunia. Mungkin juga ingin beri dia peluang untuk beribadat dan bertaubat kepadaNya, dengan sebenar-benar taubat. Dia pasrah.

Dan malam ini, dia harus pergi.

Langkahnya disusun hati-hati. Jalannya digerakkan dengan penuh kelembutan. Setiap perbuatan dimulai dengan membaca bismillah. Dia mahu meninggalkan dunia yang penuh fitnah dan kerosakan ini, seperti mana dia meninggalkan rumah itu sekarang. Enjin kereta dihidupkan. Dia sudah bersedia dengan persiapan dan perancangan. Dan dia juga bersedia untuk ke tempat tujuannya.

Sambil memandu, dia berzikir. Memuji-muji Allah, dan memuji-muji junjungan baginda Rasulullah SAW. Dia menghayati semula kisah-kisah jihad Rasulullah dan para sahabat dalam menentang kaum kufar. Bagaimana ketabahan mereka meninggalkan anak isteri, kampung halaman, rumah dan segala-galanya demi untuk berjihad.

Dia fikir, jika mahu dibandingkan pengorbanannya dengan para sahabat atau Rasulullah sendiri, adalah terlampau jauh. Tidak akan tercapai hingga ke tahap mereka. Namun pengorbanannya yang sekecil ini, diharapkan dapat diterima Allah dan segala dosa-dosanya sebelum ini dapat dihapuskan dengan pengorbanan yang hendak dilakukannya.

Dia sedar umat Islam dunia sekarang, ditindas. Kekejaman ke atas umat Muhammad sekarang berlaku di mana-mana. Semuanya kerana umat Islam sudah kehilangan kuasa. Daulah Islamiyah sudah hilang daulatnya. Di Palestine, umat Islam diterajang dari negara mereka sendiri. Di Chechnya, perkara yang sama juga berlaku, kerajaan Rusia terlampau zalim. Dan di Afghanistan dan Iraq negara mereka di ceroboh dengan sesuka hati.

Polisi baru dunia sekarang, baginya cukup tidak memberi kelebihan pada Islam untuk berkembang. Ekonomi di tangan Zionis. Globalisasi menjadi alat untuk pihak kufar menguasai dunia. Dia cukup kecewa dengan keadaan sekarang.

Dan malam itu, keretanya melunsuri laju ke destinasi yang mahu dituju.

*****

Keyakinan terlihat dari penampilannya. Malam ini dia mengenakan baju kegemarannya. Baju tanpa lengan berwarna merah. Kena dengan solekan. Dipadankan pula dengan skirt hitam pendek paras pangkal paha. Tidak seperti selalu, dia lebih gemar mengenakan jeans ketat lower cut berwarna hitam. Pusatnya yang bertindik, terkeluar. Dan dia pasti, dialah gadis paling cantik dan paling mengghairahkan malam itu.

Di rumah, dia kerunsingan. Malam terlampau awal lagi baginya untuk ditinggalkan. Cuba membaca dan menonton, namun jiwanya masih kusut. Dia ambil keputusan untuk keluar. Bergembira. Melupakan perkara-perkara serius.

Namun kali ini, dia tidak berteman seperti biasa. Pertengkaran dengan kekasihnya petang tadi buat dia jadi begitu. Hari ini, dia mahu mabuk-mabuk lagi. Tapi tidak di La Viva. Kali ini dia mahu ke The Life. Dia pasti, kalau ke La Viva, kekasihnya akan dapat mencari dan pasti memujuknya. Dia mahu kekasihnya tahu, rajuknya kali ini bukan rajuk main-main.

Dalam keretanya untuk ke The Life, dia teringatkan peristiwa petang tadi. “You ingat hidup you senang sekarang, tak payah nak fikir masa depan. Enjoy sana sini. Mabuk tak tentu hala. I tau, mak bapak kita sibuk. Diorang bagi kebebasan kepada kita. Kita boleh enjoy. Tapi . . .” Belum pun habis ayat kekasihnya, dia sudah mencelah.

“Kita sama-sama anak orang besar. Sama-sama anak orang kaya. Kita pun dah ada kerja yang boleh menjamin masa depan kita. I tak paham, You nak apa sebenarnya? Duit banyak, apa guna kalau tak enjoy.” dia tetap dengan pendiriannya.

Masing-masing tak mahu mengalah dengan pendirian masing-masing. “Itu I tau. Tapi, You tak rasa ke nak hidup sempurna. Berkeluarga. Hidup macam orang lain. Lahirkan anak. Jaga anak-anak. Sayang anak-anak. I dah bosan hidup macam ni. Malam kita keluar, pagi-pagi baru nak balik. Sampai kerja lewat. You tak rasa bosan ke?”

Dalam beberapa detik lidahnya kelu. Kemudian, “Dah dekat dua tahun kita macam ni. Sebelum ni You tak kata apa-apa. You pun tak nampak macam nak berubah. Life fast, die young. I ingat lagi, itu ayat yang You cakap kat I. Tapi apa pulak sekarang?”

“Sebenarnya, dua tiga hari ni, hati I runsing. Jiwa I tak tenteram. I pun tak tau apa pasal. Malam-malam lepas I balik dari rumah You, I selalu fikir soal ni. I rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Tahla. Kalau boleh, I nak You berubah. I jugak berubah. I nak di hadapan I sekarang ni, seorang ibu yang baik untuk anak-anak I. Dapat memberi kasih sayang, bukan sahaja kepada I, tapi juga anak-anak I. Sudah masanya, kita tinggal dunia yang tak de apa-apa ni. Sudah tiba masanya kita masuk ke dunia sebenar.” Perlahan sahaja kata-kata dari kekasihnya. Bunyi sesalan jelas keluar dari mulutnya. Dia sudah cukup dengan keadaan yang dihadapinya.

“Ok.. Kalau itu keputusan You, I tak boleh nak paksa. Kalau kita terpaksa putus disebab hal ni. I sanggup. I tak puas lagi. You boleh dengan jalan You, dan I . . .” dia yakin dengan jawapannya. Dia boleh hidup tanpa kekasihnya.

Suasana agak bingit. Bagi orang yang tidak biasa, mungkin tak akan tahan lama. Malam ini dia mahu jadi tuan puteri tempat tersebut. Ramalannya tepat. Dia menjadi tumpuan malam itu. Bukan sahaja kerana kecantikan dan penampilannya, malahan kerana aksinya juga. Dengan diiringi alunan lagu dance mix yang dipasang oleh DJ tempat tersebut, dia menari bertemankan seorang lelaki yang baru sahaja dikenalinya sebentar tadi. Dia lupa sebentar dengan kekasihnya. Makin rancak lagu, makin rancaklah juga tariannya. Fikirnya, The Life lebih baik dari La Viva.

DI La Viva, kekasihnya, sedang sibuk mencari. Dia mahu memujuk. Dia tidak mahu kehilangan dewinya. Tapi sekarang dia buntu. Untuk mencari di kelab malam yang lain, dia tidak pasti ke mana. Dan jumlah kelab yang terlampau banyak menyebabkan dia susah untuk memilih di mana hendak dimulakan. Akhirnya dia menyerah kalah. Tidak mahu mencari lagi. Malam itu dia pulang hampa tanpa teman. Dan, baru dia sedar, dia sebenarnya sedang dahagakan kasih sayang dan tubuh kekasihnya.

Dia menari mengikut rentak tarian. Entah apa tarian yang dinarikannya. Kakinya pantas. Langkahnya tak pernah sumbang. Sesekali kakinya menyilang-nyilang. Tarinya tak pernah kalah. Tambah lagi, di bawah lampu berwarna-warni dan berkelip-kelip itu. Dan sesekali juga, dia menyerlahkan aksi ghairahnya. Tubuhnya seperti mahu didekati. Tubuhnya seperti mahu dirasai. Indah sungguh dunia. Melayang. Berputar. “Aku ingin sahaja berdansa dengan kau sampai pagi.”

Dan dia akhirnya lemas juga dengan kehangatan malam itu.

*****

Keesokan paginya, cuaca mendung. Awan hitam berkepul-kepul di langit. Tunggu masa sahaja mahu hujan. Cuaca mendung hari ini, seperti membayangkan suasana muram. Dan seperti cuaca dan suasana juga, di sana sini terpancar wajah muram.

Hospital di penuhi orang ramai yang tak henti-henti menangis. Yang tak henti-henti menjerit kesakitan. Di tempat kejadian keadaan masih kacau lagi. Pasukan penyelamat masih lagi melakukan operasi mereka. Mencari mangsa-mangsa, mungkin masih ada lagi yang terselamat. Keluarga-keluarga mangsa juga turut ada di situ. Menanti dengan penuh harapan, moga-moga masih ada peluang menemui orang yang tersayang.

Tragedi awal pagi semalam benar-benar mengejutkan. Negara pada masa itu, seperti dilanda suatu bencana. Rakyat menanti dengan doa dan harapan, supaya kejadian ini tiada lanjutan. Moga tiada lagi orang seperti ini. Mengebom orang-orang yang tidak berdosa.

Dan setiap akhbar dan siaran berita di televisyen pagi ini, menyiarkan berita yang sama. Berita yang cukup menggemparkan. Antara tajuk-tajuk berita tersebut berbunyi, Pengebom Berani Mati Letupkan The Life, Sebuah Kelab Malam Terkemuka Diletupkan dan 67 Orang Mati Dalam Letupan Ngeri. Dan dalam kenyataan akhbar berkenaan letupan tersebut, Menteri Dalam Negeri berkata“kejadian dikatakan berlaku lebih kurang pukul 1.25 dan setakat ini 67 orang disahkan terbunuh, 45 orang lagi cedera dan 11 lagi masih belum ditemui. Antara yang meninggal dunia, ialah anak perempuan salah seorang menteri negara ini. Punca letupan masih lagi dalam siasatan, namun pihak polis tidak menolak bahawa kejadian pada awal pagi tadi mungkin berpunca dari tindakan nekad seorang pengebom berani mati sebuah pergerakan Islam radikal yang berpengkalan di sekitar rantau ini.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan